Skip to main content

SAMAN CINTA



   Kerak-kerak minyak bercampur kari di atas kuali panas dibuang ke suatu tempat khas. Kemudian roti burger ‘Daging Special’ dihias indah bertatahkan tomato dan timun, berlumurkan Mayonis dan Mustard. Aroma enak menerawang di sekitar kawasan gerainya, menusuk ke hidung beberapa pelanggan yang berdiri berhampiran.
            Daging istimewa jualannya bukan sebarang daging. Daging yang telah digoreng dan dimasak bersama kuah kari akan dicelup dengan sos kacang buatan emak. Sungguh, pelanggan-pelanggannya amat menyukai daging goreng bersira sos kacang itu. Rasanya lemak-lemak manis.
            “Abang Arsyad tak ada operasi hari ni?” Najwa, guru Sains yang selalu membeli burger di gerainya menegur. Gadis berkulit putih kuning itu sudah lama menjadi pelanggan setianya, hampir setiap hari memesan burger ‘Double Special’ setiap kali pulang dari bandar.
            Arsyad mengangkat muka, memandang wajah manis guru sekolah rendah itu.
            “Operasi? Operasi apa tu?”
            “Alah, kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak. Abang kan penguatkuasa.” Najwa melirik manja sambil tersenyum tipis.
Arsyad terkejut seketika lantas benaknya diterpa dengan bermacam tanda tanya. Dari mana pula si gadis manis itu tahu latar belakang pekerjaan utamanya? Mana mungkin pelanggan-pelanggan mengetahui tugasnya sebagai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Penguatkuasa apa pulak ni?”
“Najwa dah kenal abang. Abang tu pegawai JPJ,” Najwa ketawa kecil, barangkali gembira kerana dapat membongkar identiti sebenar penjual burger di tepi jalan besar yang menghubungkan Bandar Pontian dengan Kukup.
Arsyad tersenyum tipis, tidak mampu mengelak diri lagi. Sudah lama gadis-gadis yang menjadi pelanggannya di gerai itu bertanya itu ini, ingin berkenalan dengan lebih lanjut.
“Mana Najwa tahu ni?”
“Itu rahsia Najwalah. Kita pun ada mata-mata gelap jugak.” Najwa mengambil bungkusan burger yang sudah siap.
Arsyad hanya mengekalkan senyuman sambil memerhati saja lenggang gadis manis itu sehingga masuk ke dalam kenderaannya. Kemudian, kuali panas berukuran empat segi itu dibersihkan perlahan-lahan.
“Satu lagi mambang sudah sangkut sama lu, beb!” Faizul yang sedang melayari internet di bahagian belakang gerai tersengih, menyindir teman yang rajin membuka gerai, berjualan sebagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan.
“Banyaklah lu punya mambang!” selar Arsyad bersahaja. Tidak senang diusik begitu.
Faizul tergelak besar, sudah mengagak bicara balas yang kedengaran. Sudah lama dia menjadi saksi setia, melihat anak-anak dara yang senang beramah-tamah dengan Arsyad ketika mereka memesan burger. Lelaki berimej kemas dan senang mengukir senyuman seperti teman itu kelihatan mudah sekali menambat hati pelanggan-pelanggannya. Tidak kurang juga pelanggan yang sudah berkeluarga, mereka mudah mesra dengan penjual burger itu. Begitu pun, sesuatu yang sangat memikat selera mereka sebenar-benarnya adalah kerana sos kacang Arsyad.
“Aku tengok ramai jugak anak-anak dara yang berani berkenalan dengan engkau. Apa tunggu lagi, sauklah seorang dua. Untung-untung dapat cikgu, boleh jugak engkau menumpang senang. Dua-dua jadi pegawai kerajaan.” Faizul memberi usul sambil benaknya juga membayang-bayang sendiri kalaulah dia berpeluang mendapat pasangan yang bekerja dalam sektor kerajaan. Bolehlah dia menumpang teduh, mendapatkan pinjaman untuk membuka perniagaan.
“Dapat menumpang senang? Siapa kata kerja kerajaan ni hidup jadi senang, Ijul?” Arsyad mengerut kening seraya menoleh ke belakang, medan lepak Faizul.
“Akulah kata, siapa pulak lagi.” Faizul kembali menatap skrin komputernya. Siapa pun tidak menafikan, rata-rata teman-teman kilangnya bercita-cita tinggi hendak mendapatkan pasangan yang bekerja kerajaan. Lebih-lebih lagi pegawai pendidikan seperti guru, mudah saja pihak bank meluluskan pinjaman. Dia sebagai salah seorang operator pengeluaran di sebuah kilang besi juga berhasrat begitu. Kini, golongan wanita mendominasi hampir semua pangkat dan kelulusan. Jumlah kaum Hawa itu juga semakin lama semakin ramai sehingga isu anak dara tua selalu dijadikan bahan bual dia dan kawan-kawan di kilang.
“Salah cakap engkau tu. Bukan kerja kerajaan yang boleh buat hidup jadi senang tapi...”
Bunyi enjin sebuah kenderaan yang berhenti benar-benar di hadapan gerai bersama lampu signal kiri yang menyala berkelip-kelip, mengganggu perhatiannya. Melihatkan penampilan kereta yang berhias pelekat ‘TRD’ di bahagian satu per empat cermin depan kenderaan dan tulisan pada pelekat itu pula berwarna merah terang, Arsyad dapat mengagak gerangan yang berada di dalamnya. Di bahagian kiri dan kanan pintu hadapan kenderaan berwarna putih metalik itu, terpamer lambang Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim. Jata berbentuk logo singa dan beberapa tulisan kecil.
“Assalamualaikum. Daging Special satu.” Seorang gadis keluar dari kenderaan tersebut lalu berdiri berhampiran dengan gerai.
Arsyad terdiam seketika.
“Oi! Acad!” Faizul memanggil teman yang tiba-tiba saja membungkam sepi.
“Er...ya! Waalaikum salam. Cikgu nak Benjo lima bungkus?” soal Arsyad tergopoh-gapah mencari bahan-bahan mentah dari dalam peti.
Gadis itu mengerut kening seraya merenung penjual burger yang tidak semena-mena berubah laku.
Daging Special satulah, pekak!” celah Faizul dari belakang.
“Ops! Maaf ya cikgu.” Arsyad mengangkat muka, memandang gadis berpakaian jubah hitam itu.
Gadis yang dipanggil ‘cikgu’ itu hanya tersenyum tipis. Melemparkan pandangan ke kanan dan kiri jalan, memerhati kenderaan lalu-lalang di hadapan.
Arsyad meneruskan tugasnya seperti biasa meski debar hatinya yang selama ini selalu mengganggu hati sudah berkurangan. Sudah lama dia menanti kenderaan Toyota Vios putih itu berhenti di depan gerainya. Jenuh juga dia menunggu pemilik kenderaan itu datang memesan burger seperti biasa.
“Cikgu dari mana?” tanyanya cuba beramah mesra. Sejak pertama kali gadis itu membeli burger di gerainya, belum sekelumit pun hatinya berani bertanyakan nama. Manakan tidak, orangnya serius saja. Sepatah yang ditanya, sepatah pulalah dijawabnya.
“Dari kedai fotostat. Untuk persediaan mengajar besok.” Ringkas saja gadis itu membalas.
“Selalu saya nampak kereta cikgu. Kalau tak ditengok orangnya, saya fikirkan mat rempit mana tadi. Ada jugak cikgu perempuan yang suka solek-solek kereta, ya?” Arsyad tersenyum meramah-ramahkan diri.
“Ada.” Pendek saja balas bicara gadis itu.
Arsyad menggerutu di dalam hati. Begitu panjang pertanyaan yang dilontarkan, hanya itu jawapan yang kedengaran? Payah benar hendak mendengar gadis yang seorang ini berbicara panjang-panjang. Jika sepatah dua saja yang keluar di mulut, masakan boleh menjadi guru? Seingatnya, guru-guru muda yang selalu membeli burger di gerainya ramah-tamah semua. Kadangkala belum sempat dia menyapa, gadis-gadis itu sudah menegurnya dan berbual-bual sambil menantikan burger siap. Kadangkala pula, soalan yang ditanyakan sedikit saja tapi jawapan mereka berjela-jela, melarat-larat sehingga kepada tahap bersyarah pula lagaknya.
“Saya selalu jugak nampak cikgu. Memang selalu keluar malam-malam ya?”
“Ya, banyak urusan kerja.”
“Cikgu pun kerja sampai malam?” Arsyad kehairanan. Sering dia berselisih jalan dengan kenderaan gadis itu setiap kali selepas solat Maghrib di masjid. Apa yang menjadi hairan di hatinya, selamba saja guru itu memakai telekung semasa memandu.
Gadis itu hanya mengukir senyuman, tidak membalas pertanyaannya.
“Pada pendapat cikgulah kan, banyak-banyak kerja di dunia ni, kerja apa yang boleh buat kita hidup senang?”
“Berniaga.”
Arsyad mengangguk-angguk seketika. Ternyata pendapat gadis itu selari dengan pemikirannya.
“Sebab orang yang berniaga itu kaya-kaya, gitu?”
“Sebab berniaga adalah salah satu daripada pekerjaan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi kita ada memberitahu, keuntungan berniaga adalah sembilan persepuluh. Peniaga hari-hari memegang duit. Siang malam bercinta dengan duit. Duit itu mempunyai kuasa spiritual...” Gadis itu berbicara tak ubah seperti seorang ahli sihir, bersuara dengan intonasi yang berbeza-beza sehingga dua orang penjual di gerai burger itu terngaga, ibarat mendengar cerita mistik yang begitu mendebarkan.
“Kuasa spritual...?” Arsyad bertanya, begitu penasaran.
“Ya, kuasa yang boleh membuatkan peniaga mengigau-ngigau dan ingin berdamping setiap masa dengan duit. Contoh paling dekat kita boleh tengok ialah Mr.Crab.”
Mister Crab?”
“Ya, Mister Crab dalam cerita kartun Spongebob.”

*****

Kepalanya ditoleh ke kiri. Kemudian pandangannya beralih pula ke arah kanan. Orang yang dinanti-nanti tak kunjung datang. Muncul beberapa buah kereta, berhenti dan memesan makanan di gerainya tetapi bukan itu kenderaan yang dicari-cari.
Tidak tahu apakah rasa yang sedang bergalau di hatinya  atau sekadar suatu rasa yang kadangkala tenang kadangkala bergelora. Setiap detik berlalu bagaikan suatu penantian yang begitu menjerakan perasaan. Tertunggu-tunggu. Ternanti-nanti.
“Ijul, cikgu yang pakai kereta putih tu ada singgah gerai tak hari ni?” Resah dengan kocakan hati yang tak kunjung reda, dia merenung Faizul.
“Berapa kali engkau nak tanya? Cikgu tu kadang-kadang aja menyinggah ke mari. Kalau tidak, dia cuma lalu aja depan gerai. Kenapa? Apa masalahnya? Dia hutang dengan engkau?”
“Bukan hutang tapi curi! Dia dah curi hati aku ni!” jerit Arsyad. Namun jeritan itu hanya menggema di dalam hati. Menekan-nekan perasaan dan menyiksakan jiwa.
“Macam orang tak betul aja engkau ni. Apahal?” soal Faizul lagi setelah soalannya tidak berjawab. Jika tidak salah dia mengingat, sudah lebih lima kali Arsyad bertanyakan tentang guru yang sering berwajah kelat dan muncung panjang sedepa itu.
“Tak ada apalah...” Arsyad menggeleng kepala. Wajah gadis yang masih tidak diketahui namanya itu mula menjadi bingkai gambar di dalam kepalanya, sering terbayang-bayang pula di minda. Gadis itu nampak saja seperti wanita lugu tetapi sekali berbicara ibarat anak panah yang mengena sasaran. Tersentuh hatinya mendengar patah-patah kata yang penuh pengajaran dan keinsafan.
“Selalu saya nampak cikgu bertelekung semasa memandu. Bahaya tu, tau.” Suatu hari dia mengungkit sikap guru itu.
“Apa yang bahayanya? Bukannya memandu sambil tutup muka.”
Arsyad tersenyum. Boleh tahan juga pantas bicara balas yang kedengaran.
“Cikgu ada aktiviti apa di masjid? Kan tak manis orang perempuan sembahyang di masjid.”
“Lagi tak manis kalau orang lelaki yang sepatutnya bersembahyang di masjid tapi melepak saja di rumah. Tergamak biarkan orang tua-tua laungkan azan dan jadi bilal. Suara muazzin berkerak-kerak macam orang banyak kahak dalam mikrofon. Siksa telinga siapa yang mendengarnya. Tapi bukan semua lelaki begitu, kan?”
Arsyad ingin tersedak, benar-benar tidak menyangka butir-butir kata yang kedengaran amat berbisa sekali. Pedas. Panas. Berdesing telinganya menadah kata-kata beracun itu. Namun demikian, marahnya hilang bagai angin lalu sebaik saja mendapat tahu bahawa guru tersebut sebenarnya salah seorang tenaga pengajar, mencurahkan ilmu Al Quran kepada orang-orang tua yang ingin mempelajari bacaan Al Quran di masjid. Emak yang memberitahunya kerana emak juga salah seorang di antara pelajar-pelajarnya.
Dia jadi malu sendiri. Berlagak bagai pendeta tetapi diri sendiri yang terkena. Rentetan dari itu, serasa bagai ada suatu kelainan di hati tentang gadis itu. Ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Sayang seribu kali sayang. Semakin didekat semakin menjauh pula orang yang dicari-cari. 

*****

“Kenapa engkau tiba-tiba nak buat operasi di jalan kampung ni? Pukul sepuluh nanti pergi  operasi di Jalan Ulu Choh. Jangan lupa,” Mahadi, teman setugas memberi ingat. Mereka akan menjalankan operasi pemeriksaan jalan raya malam itu.
Arsyad tersenyum cuma. Berpakaian lengkap seragam biru gelap dengan lilitan merah di bahagian bahu, dia menunggu  di suatu simpang tiga bersama sebuah kereta dengan lampu siren berkelip-kelip biru putih. Lebih kurang lima minit menanti, kenderaan yang ditunggu-tunggunya muncul membelah malam, menyalakan lampu signal kanan kerana kenderaan tersebut hendak membelok ke kanan.
Arsyad menaikkan lampu kalis cahaya, mengisyaratkan kenderaan tersebut supaya berhenti ke tepi. Seperti yang dikehendaki, kenderaan tersebut mula memperlahankan kenderaan lalu berhenti.
“Sila tunjukkan saya kad pengenalan awak,” pinta Arsyad dengan riak serius. Sedikit pun tidak memandang wajah gadis yang berbungkus telekung itu.
Gadis itu menghulurkan sekeping kad. Arsyad cepat mengambilnya. Oooo... Andik Zulaikha Binti Daeng Ardian Syah...
“Awak ni keturunan Bugis, ya?”
Gadis itu hanya mengangguk.
“Kenapa memandu sambil pakai telekung? Ini dapat memudaratkan orang lain,” soal Arsyad dengan nada serius.
“Apa yang mudaratnya, encik?”
“Yalah, kalau orang-orang tua berselisih jalan dengan kereta awak ni tentu mengakibatkan penyakit-penyakit yang berbahaya. Malam yang gelap gelita, lampu jalan pun tak ada. Awak pulak pakai serba putih, pandu kereta putih pulak tu... nanti orang ingat hantu langsuir  bawak kereta.”
Gadis itu mengangkat muka, merenung lelaki yang tersengih-sengih sambil berpeluk tubuh.
“Encik ni sebenarnya nak saman saya atau apa? Saya banyak kerja ni. Jangan buang masa saya boleh tak?”
Arsyad terkejut. Berani naikkan suara depan JPJ? Biar betul...
“Disebabkan awak berani bertinggi suara dengan saya, saya akan saman awak. Ini suratnya...” Arsyad menulis sesuatu dalam kertas berwarna merah samar. Kemudian kertas itu dihulur kepada wanita yang sudah menarik muka.
Tanpa sepatah kata, Toyota Vios TRD menderum laju, meninggalkan bunyi bingit di belakang, menandakan si pemandunya sedang beremosi. Arsyad hanya tersengih-sengih.

*****

“Engkau tak patut kacau cikgu tu, Acad. Nanti kalau naik angin dia, barulah engkau tahu langit tu tinggi. Aku tak nak campurlah,”tegur Faizul apabila teman itu ingin membuat operasi di simpang tiga Kampung Tenggayun itu lagi.
“Aku bukan ada niat jahat. Aku saja aja nak jumpa dia,” Arsyad menarik Faizul yang teragak-agak  hendak menjadi peneman.
Seperti biasa, kenderaan yang ditunggu-tunggu muncul jua. Arsyad menahan kereta tersebut.
“Ada apalagi, encik?”
“Sila beri nombor telefon awak.”
“Nombor telefon? Engkau tak ada kerja lain, Acad?”
Arsyad terkejut. Wajah emak menjengul di sebelah guru itu. Wajah yang sudah dimakan usia itu serius saja bersama matanya yang sudah membulat besar.
“Er...mak! Kenapa tak beritahu Acad mak dah habis kelas di masjid?” Arsyad tiba-tiba saja berubah gagap.
“Kan engkau dah beritahu mak tadi, engkau ada operasi malam ni. Engkau kata tak dapat hantar mak balik. Mak tumpang Cikgu Ika aja. Oh, jadi inilah operasi yang engkau sibuk sangat tu?”
Arsyad terketar-ketar. Rasanya lidah sedang bergumpal-gumpal di dalam mulut, tidak tahu apa jawapan yang seharusnya diberikan kepada pertanyaan emak.

*****

            “Pang Pang Kompang Kompang Kompang Kompang Kompang! Bing Bing Gibing Gibing Gibing Gibing Gibing... Kompang...Kompang...Kom...”
            “Eh, Diamlah! Kang ada yang makan sudip burger ni...” Arsyad tidak senang mendengar lagu kompang pengantin dari mulut Faizul. Sejak insiden minggu lalu, tidurnya semakin tidak lena, fikirannya juga semakin tidak kena.
            Faizul ketawa terkekeh-kekeh. Geli hati melihat orang yang sedang dilamun cinta. Berubah daripada manusia yang waras kepada individu yang gila-gila. Itulah Arsyad sahabat sepermainan sejak kecil yang sudah lama dikenalinya.
            “Itulah...kalau suka tu katakan suka. Jangan dok mengacau orang sana sini. Kan dah kena saman dengan emak sendiri. Kah kah kah...”
            Arsyad hanya menghela nafas, mengawal rasa tidak selesa yang sedang menyelubungi jiwa. Sejak kejadian minggu lalu, dia tidak mampu lagi berdepan dengan gadis bernama Andik Zulaikha. Sedang hati dan perasaan menahan sakit merindu ingin bertemu dengannya, walau hanya sekadar dapat menatap serombong ekzos di belakang kenderaan milik gadis itu. Dia rela.
            “Special burger, satu!”
            Arsyad mengangkat muka, memandang gerangan yang sudah berdiri benar-benar di hadapan kuali panasnya. Tiba-tiba saja jantungnya berdegup kencang, bergetar menatap sang ayu yang sedang merenungnya.
            “Er...satu?”
            “Ya, satu.”
            “Maaflah cikgu, kawan saya ni pendengarannya kurang baik. Dulu masa kecil telinganya pernah bertorek. Keh Keh Keh...” Faizul tersengih, menyampuk tiba-tiba. Dan guru wanita itu hanya tersenyum manis dan mengangguk beberapa kali.
            Arsyad hanya membungkam sepi. Meski telinganya berdesing dengan mulut celopar Faizul tetapi seluruh tubuhnya kini bagai terikat dengan renungan ratu hatinya itu. Tajam menikam. Sejak tadi, matanya hanya mampu menatap daging burger yang sedang mendidih di atas kuali lepernya.
            “Awak tak kerja hari ni?” Tiba-tiba gadis itu bertanya.
            Arsyad mengangkat muka, membalas pandangan gadis itu.
            “Kerja?”
            “Tak ada pemeriksaan jalan hari ni?” Guru itu menukar pertanyaannya pula.
            “Tak ada.”
            “Jadi, tak ada saman oranglah hari ni?”
            “Er...er...”
            “Patutlah saya tertanya-tanya. Selalunya kalau ada kesilapan memandu di jalan, Pegawai JPJ akan minta lesen terlebih dulu. Bukannya kad pengenalan atau pun nombor telefon.”
            Arsyad mengawal muka yang berbahang kerana malu.
            “Jadi, orang yang saman saya hari tu sebenarnya pegawai pengangkutan jalan atau penjual burger?”
            “Pemburu cinta, cikgu.”Faizul mencelah lagi.
            “Kalau memburu cinta, janganlah buru di jalan.”
            “Habis tu susah sangat nak kenal dengan orangnya. Asyik nampak dalam kereta aja. Terpaksalah buru keretanya.”
            “Engkau jangan sibuklah!”Arsyad menoleh ke belakang, memberi amaran.  Geram pula mendengar celoteh Faizul yang begitu beria-ia.
            “Kalau nak kenal, datang ke rumah. Bukan buru keretanya.” Gadis itu bersuara.
            Arsyad pantas merenung gadis itu. Benarkah apa yang didengarnya?
            “Burger saya dah siap.”
            Arsyad tersentak. Baru tersedar, sudah lama bungkusan burger itu berada di tangannya. Perlahan-lahan bungkusan tersebut dihulur kepada gadis itu.
            “Ini duitnya.” Gadis itu menghulur dua keping not biru dan syiling lima puluh sen.
            “Tak perlu bayar sekarang, nanti saja bila saya datang ke rumah awak.” Arsyad tersenyum, menolak huluran tersebut.
            “Apa?”Gadis itu terkejut.
            Arsyad hanya mengekalkan senyuman. Dia memerhati saja gadis itu sehingga masuk ke dalam kenderaan yang diparkir agak jauh dari gerainya.
            Yahooo!!! Arsyad menjerit di dalam hati. Dia tahu cintanya telah bersambut. Tidak bertepuk sebelah tangan. Sejenak dia bersyukur di dalam hati. Dia sudah berkira-kira hendak berbincang dengan emak tentang gadis itu. Dia yakin, itulah pilihan hatinya.
            “Ijul, engkau mesti jadi pengapit aku.” Arsyad menoleh ke arah Faizul.
            “Apa? Pengapit engkau?”
            “Ya, minggu depan aku nak bawak keluarga datang ke rumah cikgu tu.”
            “Eleh, tadi bukan main lagi bertempik masa aku nyanyi lagu Pang Pang Kompang tu...”
Arsyad tersengih-sengih cuma. Indahnya rasa hati yang sedang berbunga-bunga. Dunia terasa penuh warna.
            “Pang Pang Kompang...Kompang Kompang...Kompang Kompang...Gibing Gibing...Gibing Gibing...” Suara Faizul terus menyanyi-nyanyi kecil sambil menatap layar skrin komputer ribanya.
            Arsyad tersenyum sendiri. Lagu itu kedengaran menyemarakkan lagi perasaan hati. Tuhan...permudahkanlah segala urusan...
           
TAMAT         

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…