Skip to main content

Kelmarin Yang Penuh Kejutan

Cerpen ' Mbak Kusuma Dewi''
Mbak Kusuma Dewi memerhati wajahnya pada cermin solek di hadapan. Diperhati seketika kelopak mata yang bundar dan redup bulu mata persis mata unta itu. Sejenak bibirnya mencebik, barangkali tidak berpuas hati dengan tatarias pembayang mata dari jenama Sendayu Tinggi. Warna-warna ‘Envy Night’ yang tersedia dalam kemasan hitam itu kurang mesra dengan kulit mata. Tidak secekap pembayang mata ‘Sariayu’, bergemerlapan dan natural walau hanya dengan sedikit sapuan. Berbanding dengan jenama ‘MAC’, dia lebih cinta kepada produk alami dan semulajadi ‘Sariayu’. Sayangnya, kemasan yang memuatkan 25 warna pembayang mata edisi terkini belum dapat diperolehi dari negara seberang.
“Cantiknya! Pandai Mbak bermain dengan warna pembayang mata!” Permata Sari, sahabat sebilik tersenyum memuji.
Mbak Kusuma Dewi hanya tersenyum tipis seraya mengerdip-ngerdipkan kelopak mata, seakan ekor merak yang sedang bergerak-gerak. Rona Turqois bercampur Ungu lembut.
“Warna yang benar-benar mempesona terhasil daripada paduan beberapa warna, barulah ia nampak cantik. Ibarat pelangi, begitu indah dengan gubahan lapisan pelbagai spektrum. Satu warna saja tidak cukup.”
Tuk! Tuk!
Mbak Kusuma Dewi dan Permata Sari saling berpandangan lalu menghala pandangan masing-masing ke arah pintu kamar.
“Siapa tu?” Mbak Kusuma Dewi bertanya.
“Adik...”
Mbak Kusuma Dewi mengerut kening seketika. Adik...?
“Adik mana ni?”
“Adiklah, Kak Kusuma Dewi!”
Tuk! Tuk! Tuk!
Mbak Kusuma Dewi tersentak.
“Kak Kusuma Dewi, ayah panggil di bawah. Ada tetamu datang!”
Mbak Kusuma Dewi mengusap wajah. Jam dinding segera dikerling. Ah, Sudah jam sebelas pagi! Ternyata dia bermimpi di siang hari.
Mbak Kusuma Dewi menapak perlahan, sedikit terhuyung-hayang. Pintu kamar segera dikuak.
“Ada apa dik?”
“Ayah panggil di bawah. Ada tetamu nak jumpa Kak Kusuma Dewi.” Aisyah, adik berusia lapan tahun itu memberitahu.
Mbak Kusuma Dewi menggaru-garu kepala. Rambutnya yang panjang mengurai serabai benar kerana lena selepas Subuh tadi.
“Cepatlah, Kak Kusuma Dewi!”
“Hari ni hari Ahad. Tetamu apa pulak?” Mbak Kusuma Dewi menapak semula ke atas tilam empuk. Ingin kembali menyambung mimpi tentang pembayang mata yang cantik.
“Kusuma! Kusuma Dewi!” Suara ayah kedengaran kuat dari tingkat bawah, menggema sehingga ke dalam kamar tidurnya.
“Ya! Ada apa, ayah?” Secepat kilat, Mbak Kusuma Dewi melompat dari katil lalu berdiri di tepi pintu kamar.
“Cepat turun! Ada orang nak jumpa engkau ni.”
“Siapa, ayah?”
“Turunlah dulu. Siap cepat. Siap cantik-cantik. Ada orang nak kenal dengan engkau ni.”
Mbak Kusuma Dewi mencebik muka.
“Mengarut apa ayah ni pagi-pagi buta macam ni?”
“Hari dah tinggi ni, nak oi. Bukan pagi buta lagi. Cepat bersiap.”
Mbak Kusuma Dewi disapa curiga. Siapa pula yang berani bertandang siang-siang begini, mengganggu indahnya mimpi? Kalau benar pun hendak menjalinkan silaturrahmi, bukankah seharusnya diberitahu awal-awal lagi?
Pun begitu, kecurigaan itu dibiarkan saja bagai angin lalu. Mbak Kusuma Dewi masuk ke kamar mandi, membersihkan diri sambil menyanyi lagu ‘ Ooo La La’.
“Kusuma Dewi!” Suara emak pula menyapa dari luar kamar mandi.
“Ya, Mak!”
“Dah siap belum? Tetamu dah lama tunggu di ruang tamu tu.”
“Tetamu siapa, mak? Kusuma tak ada temujanji dengan siapa-siapa hari ni.”
“Entahlah, mak pun tak kenal. Cepatlah! Tak baik biar orang tertunggu-tunggu.”
Mbak Kusuma Dewi kembali disapa curiga. Jantungnya mula berdegup kencang. Nampaknya bersungguh benar emak menggesanya. Lagaknya mula jadi tidak tentu arah, kelam-kabut menyiapkan diri. Tidak sedar ada sabun yang masih tertinggal pada sebahagian wajahnya lantaran kalutnya itu.
“Engkau dandan cantik-cantik sikit macam yang selalu engkau buat setiap kali keluar ke bandar. Ada orang nak kenal dengan engkau tu.” Entah bila emak sudah berada dalam kamar, Mbak Kusuma Dewi sendiri tidak pasti.
“Tak kuasalah, mak. Siapa yang nak kenal? Kusuma tak ada jemput siapa-siapa datang.” Mbak Kusuma Dewi hanya berpakaian ala kadar sambil menatarias wajahnya dengan solekan tipis. Solekan seringan butiran talkum Johnson & Johnson.
“Engkaukan pandai bersolek?” Emak sedikit hairan.
“Kusuma baru bangun tidur, mak. Tiba-tiba aja disuruh bersolek. Biar betul...” Mbak Kusuma Dewi hanya menjeling, kurang senang dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu. Mana mungkin dia dapat bersolek dalam keadaan terkocoh-kacah begitu.
“Ha, sudahlah tu. Marilah cepat.”
Mbak Kusuma Dewi benar-benar tertekan. Belum pernah dalam sejarah hidupnya menerima tetamu yang tidak dikenali.
Pun begitu, takdirnya sudah tertulis demikian. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga mengikut kata-kata orang tuanya. Menapak dengan lutut gementar menuju ke ruang tamu. Dan tatkala matanya bertembung dengan mata seorang jejaka...
“Duduk sini. Marilah duduk.” Suara seorang lelaki lingkungan lima puluhan kedengaran, menjemputnya duduk di rumah sendiri.
Mbak Kusuma Dewi hanya tersenyum sumbang. Tidak tahu apa hendak dikatakannya melihat si ayah dan anak terunanya di sebelah. Tidak sekelumit pun dia kenal siapa gerangan mereka.
“Sopannya gerangan. Tak sia-sialah engkau kenalkan anak engkau dengan aku, Seman.” Si bapa tersenyum sambil memandang Mbak Kusuma Dewi tak berkedip mata.
“Bukan dengan engkau tapi anak engkau, Si Laskar Prima ni.” Seman membetulkan bicara bakal besan yang nampak seakan berminat dengan anak gadisnya. Pun begitu, lelaki boroi bermisai tebal itu hanya tersengih-sengih sambil terus memerhati wajah Mbak Kusuma Dewi tak berhenti.
Mbak Kusuma Dewi pula tidak tahu bentuk ukiran senyuman yang sedang tersungging di bibirnya kala itu. Debar, takut, hairan dan keliru bercampur baur. Hatinya dicubit-cubit rasa aneh. Meskipun aneh, sesekali pandangannya berlaga juga dengan panahan mata si jejaka. Kemudian sama-sama mengalih pandangan ke arah lain. Entah malu. Entah tidak suka. Sama-sama tidak tahu.
“Apa tunggu lagi? Berkenal-kenallah antara satu dengan lain,”soal Seman lalu memandang anak gadisnya.
Mbak Kusuma Dewi membesarkan mata, memberi isyarat bahawa dia benar-benar tidak selesa. Mana mungkin dia hendak beramah-tamah dengan orang-orang yang tidak dikenalinya.
Pemuda yang bernama Laskar Prima itu juga nampak malu-malu dan hanya tersenyum manis. Tidak bersuara walau sepatah.
“Anak ni kerja apa?” Bapa Laskar Prima menyoal Mbak Kusuma Dewi sambil tersenyum.
“Dia mengajar di Sekolah Rimba Buana. Dah enam tahun jadi guru di situ,”jawab Seman, menerangkan.
“Ini anak Pak Cik, namanya Laskar Prima. Dah lapan tahun bekerja di Majlis Daerah Batu Pahat. Anak Pak Cik ni tak pandai nak berkawan dengan anak dara orang. Semua kawannya lelaki. Kerjanya tak habis-habis main bola, bersukan...” Bapa Laskar Prima bercerita.
“Samalah dengan Kusuma ni, kerjanya asyik menghadap laptop saja selepas mengajar. Balik sekolah selalu lambat. Asyik kerja saja, tak pandai nak cari kawan lelaki. Pemalu sangat.”
Mbak Kusuma Dewi menghela nafas mendengar cerita ayah. Pemalu? Sejak bila pula ayah ada anak dara yang pemalu?
“Anak Pak Cik ni pemalu orangnya, Kusuma. Itulah sebabnya dia mintak Pak Cik carikan bakal isterinya. Katanya tak mahu gadis yang sosial, berpakaian menjolok mata, seksi dan macam-macamlah. Kusuma ni dah sesuai sangatlah jadi calonnya...”
Mbak Kusuma Dewi menahan loya di dalam rasa. Setahunya, dialah wanita paling seksi di alam maya ini walaupun keseksian itu tersembunyi di sebalik auratnya.
“Samalah, anak aku ni pun pemalu sangat. Kalau tak dicarikan jodohnya, dia buat tak tahu saja. Seronok nak membujang sampai ke tua.”
“Eh, asyik aku dengan engkau saja yang bercakap dari tadi. Macam aku pulak yang nak kahwin. Macam engkau pulak bakal pengantinnya.” Bapa Laskar Prima mengerut kening, menyedari situasi mereka.
“Ya tak ya jugalah. Kalau begitu, marilah kita keluar, biarkan saja anak-anak kita ni berkenal-kenal dulu di dalam. Apa kata?” Seman membalas sambil memberi cadangan.
“Janganlah, ayah.” Laskar Prima dan Mbak Kusuma Dewi sama-sama bersuara, menghalang ayah masing-masing daripada meninggalkan ruang tamu rumah itu.
“Eh, Ada suara rupanya! Serentak pula tu bercakap. Kalau dah jodoh memang tak kemana...” Bapa Laskar Prima ketawa kecil. Mereka kembali duduk di tempat masing-masing.
Keadaan hening seketika. Masing-masing menunggu teruna dan dara mereka bersuara dan saling berbicara. Sayangnya lima minit terus berlalu tanpa sepatah dua kata.
“Nampak gayanya kita biarkan sajalah mereka berkenal-kenal di luar. Biar kita saja yang bercakap di dalam.” Seman pula memberi cadangan.
“Di luar?”
“Biarlah mereka berkenalan sendiri. Telefon, internet dan email sekarang dah jadi alat utama nak berbual. Kita jadi orang tengah saja, sudah.” Seman menerangkan.
Kira-kira sejam kemudian, tetamu tersebut pulang dengan riang gembira.
“Macam mana tadi, Kusuma? Lawa juga orangnya tu,”Emak menyoal sambil tersenyum, menghala pandangan kepada anak gadis yang sedang termenung di atas kusyen.
“Ada-ada aja mak dengan ayah ni. Buat Kusuma terkejut aja Ahad pagi macam ni...” Mbak Kusuma Dewi merungut lalu terus naik ke kamarnya.

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…