Skip to main content

Kubur Lain-Lain

           Schwarzkopf Professional Saloon.  Ruang berhawa dingin yang tengik dengan bau bancuhan pewarna rambut nampak tenang saja hari itu. Beberapa pelanggan kelihatan sibuk dilayan oleh pekerja Melayu yang bertugas.
            Syifa Syuhada yang duduk di kerusi paling hujung masih tekun membaca buku motivasi kegemarannya, ‘Kaum-Kaum Yang Pupus’. Menunggu rambutnya siap diberi rawatan stim selesai potong dan cuci sejam sebelum itu.
            Segala-galanya kerana Ramadhan. Bulan yang dirindu-rindu itu tiba jua. Percaya dengan bulan yang mempunyai ‘malam seribu bulan’ itu, dia sangat teruja hendak mempersiapkan dirinya. Membersihkan diri, menyediakan telekung yang bersih untuk menyertai Solat Terawih di masjid dan menetapkan secara fizikal dan mental untuk menahan diri dari lapar dan dahaga selama tiga puluh hari tiga puluh malam. Justeru dia sanggup berhabis duit, memotong rambutnya untuk menyambut bulan yang penuh berkah. Dia ingin menjalani bulan puasa dengan semangat yang beria-ia, hati yang ria. Dia mahu melewati detik-detik Al Mubarak dengan penuh kehambaan.
            “Hi, everyone! I am coming...”
            Syifa Syuhada menoleh ke arah suara yang tiba-tiba saja mengganggu hening suasana nyaman itu.
            “Hi, Alin! Duduklah.” Suara salah seorang pekerja di situ menyahut, tersenyum mempersilakan pelanggan duduk.
            “Huh, Panas! Bosan!” Wanita yang digelar ‘Alin’ itu terus duduk sambil mengipas-ngipas rambut perang panjang mengurai. Seketika dia mencapai botol mineral 500ml dari dalam beg. Air jarang itu diteguk rakus.
            “Heh! You tak puasa?” Pekerja itu merenung Alin.
            “Nak puasa apa pulak panas-panas buta ni! Naik kering tekak I ni tahu tak?” Alin menjeling cuma. Kemudian sepit pada rambutnya dilerai perlahan.
            “Kalau ia pun, you janganlah minum depan I. I puasa tau.” Pekerja itu tersenyum lalu memegang rambut pelanggan tetapnya itu. Tanpa perlu disuruh, pekerja itu bagai faham sendiri rawatan yang biasa dilakukan.
            “Kita ni kalau jadi orang, jangan hipokrit. I memang tak boleh tahan haus, nak cakap apalagi kan? Minum ajalah.”
            Syifa Syuhada yang sejak tadi menahan geram memerhati perilaku wanita Islam itu, kembali menghala fokus kepada buku di depannya. Telinganya cukup berdesing mendengar patah-patah kata wanita itu.
            “You dah buat baju raya? Berapa pasang tahun ni?” Pekerja tersebut ramah bertanya sambil tangannya mesra membelai-belai rambut perang pelanggannya.
            “Entah, tak kira. Sekarang pun orang dah malas nak beraya dengan baju kurung tempah tu. You?”
            “I pakai baju tahun lepas aja. Tinggal nak cari tudung yang sama warna dengan baju. Rona merah jambu.”
            Tiba-tiba Alin menoleh ke belakang, memandang pekerja itu.
            “Eh, you kan ‘free hair’! Kenapa pulak sibuk cari tudung?”
            “Saja nak bergaya. Tak sedap pulak pakai baju raya tak bertudung. Janggal rasanya.” Pekerja tersebut gelak kecil.
            “Ha, tulah! Pakai tudung sebab nak bergaya. Salah tu, dik. Kita jangan hipokrit, tahu tak? Orang zaman sekarang ni, di luar kemain lagi bertutup litup, rupanya alim-alim kucing saja!”
            “Siapa orang zaman sekarang yang alim-alim kucing tu, Cik Kak?”
            Alin terkejut, tersentak mendengar suara yang tiba-tiba saja mencelah. Wajah gadis yang sedang duduk di kerusi paling hujung dipandang tepat.
            “Siapa-siapalah. Konon tunjuk baik, tutup sana-sini padahal dalam hati berkarat!” jawabnya menjeling tiba-tiba. Barangkali tidak senang kerana bicaranya disampuk oleh gerangan yang tidak dikenali.
            “Cik Kak, pakai tudung ni bukan kerana perbuatan itu baik. Tutup aurat bukan bermakna orang tu alim.”
            “Habis tu?”
            “Tutup aurat kerana ia perintah yang di atas sana. Perintah Allah!”
            “Jadi?”
            “Sebagai orang Islam, kita mesti jadi penganut yang menurut perintah. Wajib ikut peraturan yang sudah berkuatkuasa. Akta yang sudah termaktub dalam Al Quran. Ia bukan suatu kebaikan tapi kewajipan.”
            Alin mengerut kening. Otaknya bagai berpusing-pusing hendak memahamkan bicara gadis itu.
            “Itulah sebabnya, orang yang menutup aurat tidak semestinya dia alim. Tapi orang yang alim sudah tentu akan menutup auratnya.”Syifa Syuhada menyambung bicara.
            “Alah, sudahlah! Nak berfalsafah pulak. Geli aku mendengarnya. Bersepah-sepah sekarang ni perempuan pakai tudung buat jahat. Tak usahlah nak tegakkan benang yang basah. Berita, surat khabar, internet...semua dah jadi bukti. Lebih baik jadi macam aku, benci hipokrit. Aku nak puasa ke tidak, nak pakai tudung ke tidak, ikut suka hati aku. Kubur lain-lain.” Alin menjuihkan bibir, meluat dengan kata-kata yang kedengaran. Seketika air mineral diteguk tanpa segan-silu. Tiada malu-malu.
            Syifa Syuhada hanya menghela nafas. Kalaulah nanti kubur engkau sebelah kubur aku...?

*****
Pelabuhan Kukup, Pontian. Syifa Syuhada melangkah keluar dari Feri ‘Hang Tuah’ seraya menapak tenang menuju ke kaunter imigresen. Perjalanan laut selama empat puluh lima minit dari Tanjung Balai Karimun dirasakan agak panjang. Barangkali kerana letih berpuasa. Pun begitu, hatinya tenang kerana dapat menziarahi saudara-mara di sana.
Selesai berurusan dengan pegawai yang bertugas, Syifa Syuhada tidak menunggu lama. Kakinya terus dihalakan keluar dari kawasan pelabuhan menuju tempat teksi. Sengaja tidak mahu membebankan keluarga untuk mengambilnya dengan kenderaan.
“Nak ke mana, dik?” Seorang lelaki lingkungan lima puluhan melambai tangan, menyoal dengan ramah.
“Larkin, pak cik.” Syifa Syuhada tersenyum.
“Ha, marilah. Elok benar, cukup empat orang satu teksi.” Lelaki itu tersenyum lalu segera menapak ke arah kenderaannya.
Syifa Syuhada berasa lega. Syukur terdetik di dalam hati kerana perjalanannya terasa mudah sekali. Namun begitu, sesuatu mula mengganggu hatinya tatkala matanya bertembung dengan susuk tubuh yang turut berada dalam teksi tersebut.
Tanpa bicara, dia terus masuk, melabuhkan punggung ke sebelah seorang wanita tua bersama suaminya. Hatinya tiba-tiba berasa jengkel. Wanita yang sedang duduk di hadapan bersebelahan dengan pemandu di dalam teksi itu menimbulkan rasa marahnya.
Kenderaan meluncur laju menuju jalan ke Johor Bahru, membelah kebun-kebun kelapa sawit yang bersusun di sepanjang pinggir jalan.
“Adik, pak cik nak mintak tolong sikit, boleh?” Tiba-tiba penumpang lelaki di belakang bersuara, menyapa wanita  dihadapan.
“Apa dia, pak cik?”
“Pak cik ni tak berapa sihat. Boleh tak adik berhenti merokok dulu?” Lelaki tua itu terbatuk-batuk kecil.
Wanita itu segera berpaling ke belakang.
“Kalau dah tahu tak sihat, kenapa sibuk nak berjalan, pak cik? Duduk sajalah di rumah. Rokok ni ubat saya, pak cik. Kalau tak merokok, badan saya sakit-sakit dibuatnya.” Selamba saja wanita muda itu berbicara sambil menyedut batang rokok yang sudah menyala separuh.
“Eh, Cik Kak! Teksi ni kenderaan awam. Bayaran pun sama rata. Sudahlah tak puasa, tak tahu pulak nak menghormati Bulan Ramadhan. Tak sekolah ke apa?”
Syifa Syuhada tidak dapat mengawal marah yang sudah memancing-mancing sejak melihat wanita itu merokok ketika hendak masuk teksi tadi. Malah lebih menyiat-nyiat kesabarannya apabila wanita itu ternyata wanita yang sama sewaktu dia membuat rawatan rambut di salon tempohari. Wanita yang dipanggil ‘Alin’ oleh pekerja salon tersebut.
“Ada aku kisah? Aku sekolah ke tidak, itu diri aku. Suka hati aku. Aku bebas buat apa saja aku suka.” Alin menghembus asap rokok sambil melontar pandangan ke hadapan semula.
“Jangan begitu, dik. Kita orang Islam, perlu menghormati orang lain. Ini bulan mulia, bulan Ramadhan. Bulan yang penuh berkah. Adik tak puasa tak mengapa tapi apa salahnya kalau adik hormati orang-orang yang berpuasa.” Pemandu yang sejak tadi membisu, mula mencelah. Segaris senyuman terukir di bibirnya, menasihati wanita muda yang sedang membelek-belek kuku.
“Tak usah nak berceramah pulak, pak cik. Bawak aja teksi ni sudah. Orang bodoh aja yang tak tau ini bulan puasa. Tak payah nak ajar saya macam cikgu.” Alin melontar jelingan lalu mencampakkan rokok yang sudah tinggal puntungnya keluar dari kenderaan.
Syifa Syuhada menarik nafas dalam-dalam. Dirinya seakan teruji dengan sikap perempuan itu. Ikutkan rasanya yang membara, sudah lama ingin dicaci-maki saja. Paling tidak, dia akan meminta pemandu teksi itu menurunkan saja wanita yang tidak tahu batas-batas akhlak sebagai seorang wanita Islam. Biar dia membayar lebih tambang asalkan hatinya tidak bergetus marah yang akhirnya akan mencacatkan pula pahala amal puasanya.
Kini, hati Syifa Syuhada bagai dicubit-cubit lagi melihat wanita itu  mengeluarkan makanan ringan pula dari dalam begnya. Bunyi rangup kedengaran menjadi irama tambahan di dalam teksi yang tidak berpenyaman udara itu.
“Nak, tak elok kita makan di depan orang yang berpuasa. Orang tua-tua kata, itu perbuatan biadab, nak.” Giliran wanita tua di sebelah Syifa Syuhada pula menegur dengan suara yang lunak, lembut sekali.
Alin sekali lagi menoleh ke belakang dengan dahi yang dikerut-kerutkan bersama mata yang membulat besar.
“Apa saya peduli, mak cik? Saya nak biadab ke tidak, itu hal saya. Jangan sibuklah nak jaga tepi kain orang!” balasnya menjeling mata seraya menghala semula pandangan ke hadapan.
“Mak cik anggap anak ni macam anak mak cik sendiri. Memang pun mak cik ada anak baya-baya anak ni. Rambutnya cantik, keriting panjang mengurai. Alangkah cantiknya kalau anak tahu bersopan.”
“Drama...drama...” Alin hanya menggeleng-geleng kepala sambil mencebik muka. Mengejek  bicara wanita tua itu.
“Anak, kita hidup di dunia ni bukan selama-lamanya. Seronok yang dicari takkan kekal lama. Ambillah keberkatan bulan yang mulia ni, nak. Sama-sama muhasabah diri.” Wanita tua itu menambah bicara dengan suara lembutnya.
“Sudah-sudahlah tu mak cik. Pekak pulak telinga saya nanti. Saya nak muhasabah ke...nak buat apa ke...mak cik peduli apa? Kubur lain-lain. Jangan nak menyibuk!” Alin cepat menyambar kata-kata yang sudah meloyakan tekaknya.
“Nak...”
“Sudahlah tu, mak cik. Biarkan saja. Tak guna kita bercakap dengan ‘dinding kebal’. Tak ada siapa dengar. Nanti kita pulak dikata orang, bercakap sorang-sorang.” Syifa Syuhada segera memotong, tidak sanggup membiarkan wanita tua itu terus diperlekeh-lekehkan.
“Betul apa yang budak mentah sebelah mak cik tu cakap, mak cik. Tak payahlah mak cik nak sibuk-sibuk nasihatkan saya. Saya muda lagi. Bergetah lagi. Ayu menawan. Lambat lagi nak mati. Kalau mati pun, kubur kita tak sama. Mak cik tu dah tua, elok sangatlah kalau mak cik yang bermuhasabah. Lebih baik mak cik tambah amalan banyak-banyak, lebih-lebih di bulan mulia ni, mak cik.” Alin tergelak-gelak. Bekas makanan ringan yang sudah kosong dibuang keluar.
Syifa Syuhada sedaya-upaya menahan sabar. Hati yang sudah berapi-api dikawal sebaik mungkin. Dia perlu akur, barangkali inilah ujian yang telah digariskan oleh Yang Maha Esa untuk mengukur sejauh mana dia dapat menahan kemarahan. Sekuat mana dia dapat menjaga tutur bicara dan tingkah lakunya. Ya Allah...berikan aku setinggi kesabaran...
Seketika suasana berubah hening. Wanita yang sejak tadi sering menimbulkan resah kini sudah enak dibelai angin, beradu sepi di sebelah pemandu kerana kekenyangan. Tidak lagi membuat perkara yang dapat mengganggu ketenangan orang lain.
Syifa Syuhada menjeling gerangan yang sedang dibuai lena itu. Tentunya bukan seorang dua yang berperilaku seperti wanita di tempat duduk hadapan itu. Meremehkan agama, merendah-rendahkan kepercayaan kepada tuhan. Tidak sedar diri sedang mengalami krisis iman.
Syifa Syuhada mengeluh, diselubungi rasa kecewa. Itukah antara bakal-bakal ibu yang akan melahirkan generasi ilmuwan Islam? Apa akan jadi jika majoriti masyarakat beberapa tahun akan datang berperibadi seperti wanita di hadapannya itu? Bagaimanakah implikasinya kepada anak bangsa? Mungkinkah akan terjadi suatu hari nanti, orang tidak mengenal apa itu solat? Bahkan sama sekali tidak pernah mengetahui adanya bulan-bulan Islam dalam kalendar Hijrah? Lebih mengharukan lagi, mereka akan berkata, “Zaman moyang aku dulu, ada satu terapi tradisional yang dinamakan ‘Puasa’.”
“Alhamdulillah, kita dah sampai.” Suara pemandu kedengaran tenang sebaik saja teksi memasuki terminal teksi di kawasan perhentian Larkin.
Syifa Syuhada tersenyum lega. Ruang perhentian teksi yang hingar-bingar membawa pergi perang perasaannya di sepanjang perjalanan tadi. Segera dia keluar lalu menghulur sehelai not merah kepada pemandu tersebut. Dia bercadang hendak singgah ke pasar basah Larkin, membeli sedikit juadah berbuka buat keluarga di rumah.
“Anak, bangun nak. Kita dah sampai.” Wanita tua yang sudah keluar dari kenderaan mula mengejutkan wanita muda di tempat duduk hadapan. Namun, tiada sebarang tindak balas kelihatan. Wanita itu masih enak dibuai mimpi. Syifa Syuhada hanya memerhati dengan pandangan sepi.
“Dik, bangun! Dah sampai Larkin ni.” Giliran pemandu itu pula mengejutkan Alin.
Syifa Syuhada melagakan giginya. Geram kembali bergetus dalam hati. Sudah makan kekenyangan dan kini tidur pula kesedapan. Menyusahkan semua orang. Dengan langkah pantas, dia menghampiri wanita itu seraya menggoyang-goyang tubuhnya.
“Cik Kak! Bangun Cik Kak!”Tengkingnya dengan suara kuat. Pun begitu, tiada sebarang respon. Wanita itu masih membisu dengan mata yang terpejam rapat.
“Cik Kak! Cik Kak!” Syifa Syuhada menepuk-nepuk pipi wanita itu. Sayang sekali, tiada sebarang tindak balas.
Tiba-tiba rasa cemas mula membelenggu mereka. Lelaki tua yang sejak tadi memerhati mula meletakkan dua jarinya pada bawah hidung wanita itu. Kemudian, dua jari tadi dibawa ke leher wanita itu pula. Tiada nafas yang berombak. Tiada terasa denyutan nadi. Wanita itu masih kaku dan bisu.
“Astaghfirullah Al Azim. Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun...” Lelaki tua itu menggeleng-geleng kepala.
Keadaan mula menjadi gempar. Kawasan perhentian teksi itu sebentar saja menjadi kerumunan orang ramai. Pemandu teksi tadi segera menghubungi hospital.
Syifa Syuhada terjelepuk ke lantai. Seluruh sendi mula bergetar. Duduk sepi di pinggir perhentian itu. Mengingat kembali ungkapan yang masih terngiang-ngiang di telinga. ‘Kubur lain-lain’.

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…