Skip to main content

Sesekali terkenang jua...

Ini aja yg tinggal. Lain dah masuk perut.

 Alhamdulillah … Masih ada hari untukku pada hari ni. Dapat menghirup udara yang segar dan dingin di awal pagi. Suasana yang nyaman dan damai bagi orang yang sentiasa dahagakan kententeraman seperti aku.

Rutin biasa tika cuti hujung minggu tiba.  Mengemas bilik, menyapu sampah dan membasuh pakaian. Membersihkan dapur dan membasuh segala pinggan mangkuk yang kotor.

Sarapan...? Waktu kerja, awal pagi mesti alas perut dengan dua potong kuih dan milo tarik. Mak Cik kantin tu dah tahu sangat. Sehari tak nampak muka, mesti akan tercari-cari. Heh heh...

Waktu cuti begini, aku pergi kedai aja beli roti canai. Kalau ada member, melepak sekali di kedai tu, makan. Kalau dulu, jantan-jantan saja yang selalu mengeteh di kedai makan. Sekarang zaman sudah berubah. Ini disebabkan kadangkala masa cuti pun aku kerja. Jadi sebelum ke tempat kerja, singgah di kedai makan beli sarapan. 

Tapi pagi ini, aku malas nak keluar. Lagipun tak ada aktiviti di sekolah, jadi aku masak nasi goreng sambil tunggu pakaian siap dikeringkan mesin basuh.

Sedang potong kentang bentuk kiub-kiub kecil, nostalgia sepuluh tahun lalu bertandang sendiri tanpa dipinta. Kenangan manis sewaktu bergelar mahasiswi di rantau orang(Iskandariah,Mesir). Di tempat yang makanan rujinya ialah gandum dan bukan beras. 

Kami tiga sahabat duduk serumah. Dan waktu itu Syita’(Musim Dingin) sedang menyelubungi suasana, meninggalkan Saifi(Musim Panas) yang cukup menguji kehidupan kerana kami dibesarkan di benua Khatulistiwa. 

Masing-masing sedang bergelumang dengan khulasah, kitab, nota-nota sendiri dan juga Al Quran. Menyebut Al Quran, aku masih ingat lagi betapa subjek itu paling mencabar dan cukup menguji. Ya, kita sejak kecil sudah membaca Al Quran malah setelah masuk ke sekolah menengah, sudah pula terbiasa menghafal surah-surah lazim tetapi....ada tapinya. Mengingat bacaan Al Quran tidak sama seperti mengingat nota-nota di dalam kitab kuliah. Nota kitab, andai kita terlupa atau tidak mengingat sepenuhnya, kita masih boleh mengarang idea kita sendiri(tentunya dalam Bahasa Arab). Gorenglah macam mana pun, asalkan soalan yang bertulis tangan itu dapat dijawab dengan baik. Dan kita masih punya waktu untuk mengimbas kembali keadaan sewaktu tajuk mata pelajaran itu dibincangkan oleh Duktur/Dukturah (Pensyarah) dalam Mudarraj kuliah. 

Al Quran, adakah dapat kita goreng macam kita goreng isi-isi pelajaran dalam kitab? Jangan sekali-kali melakukan itu.(Jika ada mahasiswa yang terbaca entri ini). Hatta walau satu huruf sekali pun, anda tidak boleh mengada-adakannya atau membuangnya dari ingatan. Seperti mana ayat-ayat dalam Al Quran, seperti itulah bizzabt(tepat) kita menuliskan kembali dalam kertas jawapan kita. Kalau anda karang ayat Al Quran sendiri lantaran tidak dapat mengingat ayat yang harus disempurnakan dalam kertas soalan peperiksaan, percayalah anda pasti GAGAL. Confirm! Double Confirm!(Ikut gaya sebuah rancangan uji minda dalam siaran Singapura)

Barangkali itulah di antara sebab mengapa Ujian Dur Thani Al Quran(Kalau di Malaysia umpama BM Julai. Boleh diambil kali kedua) dilakukan pada bulan Ogos selepas sebulan mahasiswa menghadapi peperiksaan. Ia peluang kedua untuk mahasiswa menjawab soalan mata pelajaran Al Quran. 

Waktu itu, aku amat bengkak dengan penuntut lelaki yang tidak lulus ujian Al Quran. Biar apa pun alasannya, aku tak dapat terima jika pelajar lelaki tidak lulus subjek ini , apatah pula tidak lulus juga untuk ujian Dur Thani. 

Mereka tidak mengalami Haid. Tidak mengalami halangan selama tujuh hingga lapan hari untuk memantapkan hafalan Al Quran. Malah ada yang sanggup melepaskan mata pelajaran ini untuk diambil semula ketika sudah berada di tahun akhir nanti. Kononnya lebih mudah dan ringan. 

Benarkah ringan? Kami yang perempuan ni boleh lulus dengan cemerlang dalam Al Quran mengapa kamu tidak boleh? Kami dapat menempuh segala dugaan dan halangan seterusnya berjaya, mengapa kamu tidak? Biar apa pun alasannya, aku tidak dapat menerimanya. Kerana aku sangat memandang tinggi insan yang bernama lelaki. Mereka adalah pemimpin. Mereka lebih kuat daripada wanita. Mereka mengatasi segala-galanya daripada wanita. Jadi, mereka perlu kuat dan menguasai. Tapi hakikatnya yang nampak di depan mata? 

Menghafal Al Quran itu ibarat unta yang terikat. Jika dijaga, unta itu tetap ada tapi kalau dilepaskan, unta itu akan lari. Semakin kita tak menjaga hafalan, semakin payah kita hendak menangkap ingatan yang hilang. 

Orang menyakiti hati kita, sungguh payah hendak dilupa sehingga tua dapat diingat. Mungkin juga akan terbawa sehingga mati. Tapi Surah Al Quran yang pendek jika dihafal sekali lalu hari ini, minggu depan belum tentu dapat diingat lagi. 

Kentang yang dipotong tadi aku masukkan ke dalam kuali. Seketika bibir melorekkan senyuman. Itu hanyalah dulu...dulu yang penuh dengan kenangan. Dulu yang penuh dengan api semangat dan azam. 

Benang-benang nostalgia itu terbuka lagi pintalnya...

Esok akan menduduki peperiksaan Tauhid. Waktu itu, tajuk yang amat mencabar dalam kitab karangan Doktor Ismail Mahfuz mengenai Filsafat Aristo(Falsafah Aristotle). Aku dan kawan-kawan sibuk menghangatkan ingatan. Sehingga ke malam, kami terlupa kami belum makan apa-apa.

Justeru aku ke dapur. Mencapai tiga bungkus Indomie dan menggorengnya untuk teman-teman. Besoknya aku menggoreng nasi untuk bersarapan. Aku letak kentang yang dipotong kiub, isi ayam dan sayur kobis bunga(Karnabet)


Mereka sangat teruja dan kata,’ Sedapnya!’ 

Aku tersenyum. Ya, memang sedap kerana mereka amat kelaparan. Jika lapar, nasi dan kicap pun sedap. Kalau kenyang, semua itu takkan terpandang. 

Dan sepuluh tahun itu sudah berlalu. Kenangan itu meski pun lama, ia masih terpintal dalam nostalgia ingatanku. Tidak pudar ditelan waktu. 

Sekarang, aku masih lagi menggoreng nasi letak kentang kiub. Kutoleh kiri, kutoleh kanan. Hanya aku sendiri... ^_^



Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…