Skip to main content

CERPEN : CINTA KENANGAN SILAM

            “Barangkali kau masih keliru di antara sifat pemurah dengan belas kasihan, jujur dengan terus-terang dan takut dengan hati-hati. Ia seakan sama tapi sebenarnya tidak serupa, Irsha Najihah.” Suara parau menerobos ke dinding gegendang telinga, membuat galau Irsha Najihah kian bergelora. Direnungnya wajah tampan, bujur sirih dan berkulit hitam manis itu. Raut tenangnya menggamit rasa, ingin benar dia menyentuh wajah itu.
            “Dunia ini penuh dengan tipu-daya, Afif. Jika dihadapkan dengan dua pilihan; kesusahan atau kesenangan...mana satukah jalan yang akan kau lalui?” Gilirannya menegakkan pandangannya yang selalu realistik. Bertentangan dengan apa yang selalu tercetus dalam cepu akal pemuda yang tenang dan lembut hati, sesuai dengan namanya, Afif Arasyi.
            “Aku mencari kebahagiaan. Tidak penting apakah jalan ke arah itu susah atau senang. Apakah lantaran hidup kau yang susah, kau tak berhak untuk berbahagia? Adakah dengan aku memilihmu, hidup akan menjadi susah dan kita tidak akan bahagia?” Pemuda itu menujah pandangan ke dalam anak matanya, mencetus rasa gugup yang entah mengapa amat menyiksa hatinya.
            “Bukan begitu, Afif. Aku...aku...”
            “Bukankah dulu, engkaulah yang memberitahu aku bahawa Allahlah yang berkuasa membolak-balikkan hati?” Pemuda itu menyerang lagi dengan kata-katanya yang lembut.
            Irsha Najihah terpana, terbungkam seribu bahasa.
            “Bukankah dulu, engkaulah yang mengajarkan aku tentang ‘hati’ sewaktu sebahagian perasaan ini hancur berkeping-keping dan kau sudi memujuknya?”
            Irsha Najihah terasa mindanya sempit dan beku.
            “Siapa yang lebih aula dan berkuasa di dunia ini kalau bukan Tuhan yang Maha Berkuasa? Dan andai kita tidak bergantung selain daripada-Nya, apakah hati kita berdua akan pecah berderai dihempas dugaan? Jika kita teguh berkasih demi Maha Yang Satu, tentu jiwa kita akan terus selamanya bersatu, Irsha Najihah.”
            “Afif...” Irsha Najihah menyebut nama pemuda yang tiba-tiba saja menghilang. Diganti dengan pandangan kelam dan suram. Kulitnya terasa dingin sekali sehingga dia memeluk tubuhnya, kejap. Matanya dengan tidak semena-mena terbuka, memandang kelibat yang sedang berdiri di hujung kaki.
            “Dah masuk waktu Asar, Najihah. Bangunlah, hujan pula petang ni.” Suara emak kedengaran tenang sambil tangannya menutup cermin tingkap kerana tempias hujan.
            Irsha Najihah segera bangkit, duduk sambil tangan menyapu muka. Ah...mimpi yang sama hadir lagi. Wajah orang yang sudah mati muncul lagi. Tidak tertahan hatinya menanggung rindu yang kian menggunung akibat mimpi itu.
            Kotak fikirannya terasa nanar sekali. Dia cepat-cepat bangun menuju ke kamar mandi. Lebih cepat dia bertemu tuhan, lebih segera mimpi itu sirna.
*****
            Kertas keras itu dibelek takjub. Warnanya hitam emas dan cantik. Di belakangnya lengkap tercetak peta alamat si pengirim, bakal raja sehari.
            “Cikgu sandaran kita tu baru sahaja mengajar tiga bulan dah nak bina masjid. Umurnya baru dua puluh satu tahun. Engkau juga yang tak laku-laku, Najihah.”
            Irsha Najihah terkedu sehingga kad jemputan yang sedang dipegang terlepas lalu mendarat di atas meja makan itu. Mengapa ada wap hangat menyentak di perdu jiwa? Dadanya tidak semena-mena terasa panas sekali.
            Ingin dihamburkan kemarahan yang sedang bergolak ganas. Namun wajah Afif Arasyi dengan segera menjelma di layar ingatan. Wajah yang senantiasa tenang itu bak embun pagi, dingin terasa hingga ke sukma. Meranapkan lahar api yang sedang membakar hati.
            “Belum sampai jodoh lagi, Cikgu Harun. Apa yang boleh dikatakan lagi.” Irsha Najihah berusaha mengukir senyuman, menyimpan calar rasa akibat kata-kata lepas Cikgu Harun.
            “Umur kau dah tiga puluh tujuh tahun tau, Najihah. Umur bukan sekadar nombor. Tiga tahun lagi jejaklah empat puluh tahun. Jangan kau selamba saja dengan usia yang semakin bertambah. Jadilah macam orang lain yang ada keluarga dan berketurunan. Berusahalah!”
            Ngilu bergeming dalam hati Irsha Najihah. Tidak semena-mena wajah Afif Arasyi muncul lagi, tersenyum kepadanya.
            “Umur sememangnya bukan sekadar angka, Irsha Najihah. Tapi kau sendiri tahu, kajian biologi ada menunjukkan orang yang kahwin lewat sukar mendapatkan zuriat yang cerdas. Bahkan aku pernah terbaca di dalam majalah, wanita yang lambat berumahtangga mudah mendapat risiko kanser rahim berdasarkan pengovulasi yang terus-menerus setiap bulan.”
            Nafas Irsha Najihah terasa sesak seolah-olah dadanya dihimpit batu yang maha besar.
            “Di dalam pepatah arab, masa ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, dia terlebih dahulu akan memotong kita. Sedetik yang berlalu amat berharga kepada orang yang berjaya dan berbahagia. Inikan pula usia yang hanya dipinjamkan Allah sebentar cuma...”
            Irsha Najihah menekup telinga, tidak tahan mendengar bicara yang semakin menekan rasa hatinya. Mengapa? Mengapa wajah orang yang sudah pergi perlu datang lagi mengganggu? Mengapa suara ini masih menerjah ke corong pendengarannya?
            “Bila ada orang nak, engkau pula yang tak berkenan. Aku cadangkan engkau pergi mandi bunga.” Suara Cikgu Harun kembali kedengaran, membawa suasana hingar-bingar kantin pada waktu rehat.
            “Belum sampai jodohlah tu namanya. Saya tak terdesak pun. Nanti ada jodoh, saya kahwinlah...” Irsha Najihah masih dengan jawapan yang serupa.
            “Ha, sebab tak terdesak itulah yang bahaya. Takut-takut engkau disantau orang.”
            “Ah! Mengarut betul Cikgu Harun ni...”
*****  
            Kepalanya ditoleh ke kanan. Salam yang pertama. Sejurus kemudian, hala kepalanya beralih ke kiri, memberi salam kedua. Assalamualaikum warahmatullah...
            “Najihah, boleh mak cakap sikit?”
            Irsha Najihah tersentak, tidak menduga kehadiran emak di ruang solat dalam kamarnya itu. Segera dia melucutkan kain telekungnya lalu bangkit menghampiri emak yang duduk di atas katil.
            “Ada apa, mak?”
            “Mak perhatikan ada yang tak kena dengan Najihah.”
            “Apa yang tak kena tu, mak? Najihah sihat dan macam biasa.”
            “Dah tiga hari mak perasan, Najihah solat Isyak lima rakaat.”
            Mata Irsha Najihah terbeliak. Berderau darahnya serta- merta.
            “Lima rakaat? Be...betul ke?”
            “Najihah terus-teranglah dengan mak. Apa yang Najihah fikirkan? Apa yang membeban dalam kepala Najihah?” Emak bersuara tenang, setenang wajahnya yang lembut, seredup pandangannya yang bundar.
            “Tak apalah mak, Najihah betulkan solat Najihah dulu, ya mak? Mungkin banyak kerja di sekolah yang buat Najihah tak fokus dalam solat.” Irsha Najihah bangkit lalu mula mendirikan solat sekali lagi.
            Nyatanya dia tidak dapat menyempurnakan sembahyang dengan lancar. Entah sejak bila tetapi perasaannya biasa saja. Barangkali terlalu letih dengan silibus pelajaran dan kurikulum baru yang perlu hadam dalam kepala.
            Lenguh sendi-sendinya menggalas beg laptop, fail-fail dan buku-buku murid yang perlu dibuat pemeriksaan dan penandaan. Fikirannya semakin letih dan mindanya juga tidak segar. Diasak dengan tekanan kerja menyebabkan dia sukar tidur malam. Lenanya pula sering diganggu dengan kehadiran wajah orang yang pernah disayanginya.
            “Ahad ni kita ke Johor Bahru. Ada spa spiritual di sana. Bolehlah kita bersenang-senang setelah penat bekerja.” Emak memberi cadangan.
            “Spa spiritual?” Irsha Najihah mengerut kening

****
            Afif Arasyi. Nama yang tertera pada bahagian rakan di dalam laman sosial Facebook miliknya direnung tak berkelip. Indah sungguh namanya, seindah orangnya. Seketika foto profil lelaki itu disentuh dengan jari manisnya. Andai masa dapat diundur semula, sukmanya merindu benar hendak menatap wajah Afif Arasyi lama-lama. Andai waktu dapat diputar kembali, ingin telinganya mendengar suara lelaki itu selama-lamanya. Namun begitu, dia sudah tiada. Sudah berhjrah ke alam lain. Tidak semena-mena pandangannya jatuh kepada cincin belah rotan yang berlingkar di jari manisnya itu.
            “Dia masih hidup. Kenapa sayang kata Afif Arasyi sudah mati?”
            Irsha Najihah tersentak, baru teringat suaminya sedang berada di sebelahnya dan bertanya tentang gerangan bernama Afif Arasyi.
            “Setakat yang Najihah tahu, mati bukan bermakna segalanya sudah berakhir. Mati menjadi tanda bermulanya sebuah kehidupan lain kan, abang? Dia dah berumahtangga, ada kehidupannya sendiri. Najihah anggapkan dia sudah mati dalam hidup Najihah. Tapi ternyata dia masih hidup dalam kenangan-kenangan Najihah. Dan kesempatan ini diambil oleh benda-benda ghaib yang mahu merosakkan manusia.” Irsha Najihah menutup akaun miliknya serta-merta.
            Entah gara-gara siapa, entah mengapa mimpi-mimpi itu bertamu dalam lenanya, dia tidak mahu mengambil tahu. Setelah menjalani beberapa sesi terapi mentera Islam di salah sebuah klinik perubatan Islam, berlaku beberapa perubahan yang ketara dalam diri dan hidupnya.
            “Orangnya biasa saja. Rasanya abang lagi lawa...” Lelaki berjanggut sejemput di sebelahnya itu mencebir bibir, memberi komen tanpa dipinta.
            Irsha Najihah mengangguk, mengiakan sambil tersenyum manis. Memahami cemburu yang terselinap di dalam kalam yang kedengaran.
            “Jadi...apa yang buatkan sayang tak boleh lupakan dia?”
            Irsha Najihah tidak terus menjawab. Dan sememangnya dia tidak mahu menjawabnya. Adakah sebab-sebab yang mutlak kita mencintai seseorang? Apatah pula orang yang dikasihi itu amat indah dan baik perilakunya, tentu hanya akan menggugurkan airmata, mengheret kembali memori yang sebenarnya hanya tinggal kenangan silam.
            “Samalah sepertimana abang pilih Najihah sebagai isteri. Cantikkah Najihah ni sampai sanggup tunggu bertahun-tahun? Umur pun dah tua. Sudah kena pakai krim anti penuaan.” Dia setia menjaga hati suaminya.
            “Memang cantik pun serupa bulan.”
            “Samakan Najihah dengan bulan? Bulan kan berlubang-lubang serupa pipi Najihah yang banyak bekas jerawat ni.”
            “Yalah tu...”
            “Abang ni!”
            “Sayang yang kata begitu, bukan abang.”
            “Bukankah kita sama saja? Takut kepada sesuatu yang tidak pasti...”
            Irsha Najihah tersenyum. Persoalan yang sebenarnya saling tidak berjawapan itu dibiarkan sahaja berlalu. Antara sifat hati-hati dengan takut, mereka sama-sama sudah pernah menjadi pengecut. Kehidupan yang penuh perhiasan dan permainan ini amat menggentarkan sehingga tindakan mereka bukan lagi berhati-hati. Mereka pernah mengambil keputusan bahawa menyendiri itu lebih baik. Namun begitu, bukankah manusia tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah?

TAMAT
           
           
           
             
           

           
           
           

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…