Skip to main content

MALAM-MALAM AKHIR RAMADHAN

 
 
Cuaca yang hening dan tenteram sekali sehari dua ini. Alhamdulillah...
 
Assalamualaikum..
 
Saat untuk membuat persiapan Syawal akhirnya tiba jua. Mengemas teratak, membasuh pakaian, mencuci pinggan mangkuk, menyapu dan mengemop. Membersihkan tandas dan halaman teratak. Selagi tak habis kelas, selagi tulah malas nak fikir pasal lebaran.
 
6 tahun di perantauan tak merayakan Syawal bersama kawan-kawan. Alah bisa tegal biasa. Malah orang-orang Islam Mesir lebih mengutamakan Ramadhan. Tanglung berbentuk masjid tergantung di mana-mana..reben berkilau dipasang di atas bangunan rumah dan apabila angin bertiup kencang, reben-reben ini akan menghasilkan sejenis irama. Sungguh satu suasana yang mendekam kemas dalam ingatan.
 
Sekarang masih lagi berjauhan dari ibu bapa. Dan jika dikenang-kenang budaya orang Johor yang agak melebih-lebih nak menyambut raya ni, rasa janggal dalam hati. Padahal dulu kita masih kecil-kecil sama juga, meriah membuat persiapan raya. Masa merubah segalanya...
 
Seiring dengan usia yang semakin meningkat, Ramadhan lebih terasa aula. Sekarang berada dalam sepuluh malam terakhir bulan yang penuh berkah ini, seboleh-bolehnya ingin menggunakan peluang keemasan ini untuk menyucikan diri. Membersihkan hati. 

Sungguh banyak yang berlaku dalam bulan ini. Sungguh banyak yang tuhan tunjukkan kepada diri ini.
 
"Ketika orang mengagumi dirinya sendiri, selayaknya itu membawa pada syukur tak terhingga atas nikmat Tuhan. Kebanyakan kita terperangkap oleh bayangan keindahan Dia di belakang citra kita dan tenggelam di dalamnya. Inilah 'ananiyyah', self satisfaction, kenikmatan yang diperolehi dari penisbatan pada diri sendiri. Kita 'narsis' sekadarnya. Manakala semua yang kita lakukan adalah untuk kebahagiaan dan pemenuhan dari kekurangan kita. Tatkala solat, kita berharap pahala untuk kita. Saat berzakat, kita meminta agar bertambah harta kita. Ketika haji, kita memohon agar diri diselamatkan. Tak ada yang salah dengan itu. Kita ingin bahagia kerana apa yang ada dan dihasilkan oleh diri sendiri.
 
Tanyakan pada diri sendiri ; mahukah kita beramal dan tak berharap pahala? Mahukah kita menderma tanpa dijanjikan syurga? Sediakah untuk bersedekah tanpa menanti balas budi? Sediakah untuk ibadah tanpa ada yang dinanti?
 
Kecintaan kepada diri adalah fitrah. Tapi ada yang terperangkap dalam imaginasi dan berhenti pada menghias diri. Bila semua kebaikan diharapkan ganjarannya untuk diri sendiri, kita berhenti di titik itu. Kita jadi Narcissus yang tak berganjak dari danau itu. Yang kita lihat cerminan di permukaan. Kita tak hadir dalam kesungguhan.
 
Mengapakah kita tidak tepuk air itu dan biarkan ia bergoyang lalu memecah wajah kita dalam gelombang?" - Petikan daripada blog kampoengsufi.wordpress.com.
 
Bukan mudah melakukan mujahadah untuk melatih diri membersihkan hati. Saban hari ada sahaja orang-orang yang akan menyakiti kita dan memancing sesuatu dari hati ini untuk membalas perbuatan mereka. Kita memang takkan terasa betapa berkaratnya daki-daki kotor yang sudah menampal pada daging hati sehinggalah kita berupaya menjaga solat fardu dan melazimi solat malam.
 
Serupa seperti kita makan sesuatu yang tidak bagus untuk kesihatan. Kesannya tidak muncul automatik. Ia akan mengambil waktu. Dan apabila benar-benar kita berpenyakit, ubat yang kita makan sudah tentu belum boleh menyembuhkannya  sekelip mata. Ia juga perlu mengambil waktu.
 
Bukan mudah hendak set kepala otak untuk bangun solat malam. Di awalnya memang kita berniat untuk bangun malam. Tapi apakala benar-benar kita terjaga, ada semacam perasaan yang malas dan berat untuk bangun. Mengantuk teramat sangat. Padahal kita tahu, sebelum tidur kita niat untuk solat malam.  Begitu juga apabila berniat hendak menghabiskan bacaan sebanyak 2 ain. Tapi dengan tiba-tiba terasa mengantuk yang tak tertahan. Itu suatu tanda jelas bagaimana keadaan rohani saya selama ini.
 
Memahami rupa rohani ini menyebabkan saya terpaksa 'memaksa' minda dan diri. Saya paksa. Biarlah di awal ini ada rasa tidak ikhlas dan terpaksa. Kau nak memberontak ke...nak mengeluh ke...tiada kupeduli. Solat..solat... solat... bukan banyak pun. 2 rakaat sahaja.
 
Benarlah setiap manusia mempunyai motivasi dalaman yang tidak diketahui orang lain. Kita mempunyai energi dalaman tersendiri. Dengan mendidik diri, perkara yang berat perlahan-lahan menjadi ringan. Perlahan-lahan. Bukan mendadak.
 
Tapi apakah cukup setakat itu?
 
Jauh...jauh dan jauh lagi. Usaha kena lebih lagi. Semakin lama akan terasa hati begitu tenang. Usaha lagi. Bangun malam, solat lagi. Tambahkan pulak 2 rakaat lagi. Jadi 4 rakaat dua salam.
 
Wow.... perasaan yang sukar hendak dibayangkan. Tidak tahu apa yang hendak digambarkan. Ada rasa aneh. Ada energi luar biasa menyusup ke dalam diri. Kini, terjaga malam tidak lagi berasa berat. Ada semacam temujanji yang sedang menanti. Entahlah...
 
Tak kisahlah bilangan ganjil atau genap untuk 10 malam terakhir ini. Yang pasti, belum tentu saya akan berjumpa lagi dengan bulan pengampunan ini. Kita semua berhak untuk mendapat keredhaan Allah. Kita semua berhak memperbaiki diri dan berusaha untuk menuju ke jalanNya. Teruskan ibadah kita sehingga Syawal menjelma..
 
Jom kita sama-sama mengenali diri kita, memperbaiki kekurangan kita. Betul, ia satu mujahadah yang perlukan kesabaran dan keteguhan hati. Bulan ini kita berpuasa makan. Siapa tahu bulan depan, kita boleh pula puasa bicara. Kan? Terutamanya orang seperti saya, yang amat jarang membalas perlakuan buruk orang lain dengan diam. Kerana tatkala saya sudah  membuat keputusan untuk DIAM, selamanya orang itu tidak akan pernah mendengar suara saya lagi.
 
Semoga Ramadhan penuh berkah ini memberi momentum- momentum agar sifat sabar lebih menguasai minda dan jiwa dalam berurusan dengan manusia lain. Ya Allah...berikanlah hamba kesabaran yang tinggi dan tuturkata yang sopan lagi penuh diplomasi. Ilhamkanlah pada diri hamba untuk diam jika itu yang terbaik untuk hamba. Hanya kepadaMu hamba meminta pertolongan. Hanya kepadaMu, hamba meminta kekuatan. Amin..

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…