Skip to main content

CERPEN HATI : BAB 1 La la la...hari-hari kerja...




November 2014

Lapangan Terbang Antarabangsa, Senai.
Mukanya berkerut, keruh. Sebentar dia menapak ke kiri. Sebentar kemudian langkahnya menghala ke kanan. Terkadang kakinya melangkah setapak dua ke hadapan. Beberapa saat kemudian dia berundur pula ke belakang. Tanpa sedar dia menggigit kuku.
“Mana budak ni?”
Keningnya berkerut. Dia mengeluh pula. Resah sendiri kerana terpaksa menanti. Memang itulah kerja yang paling dia benci di dalam dunia ini. Menunggu.
Matanya masih tertumpu pada lorong yang memisahkan di antara ruang perlepasan dan ketibaan. Kini hanya tinggal seorang dua sahaja penumpang yang sedang berjalan keluar bersama troli bagasi masing-masing. Beberapa minit kemudian lorong itu kembali sepi.
Seketika telefon genggamnya bingit, meminta disambut. Dia memandang aneh nombor yang tertera pada skrin 5 inci itu.
“Ya, puan. Nanti sms atau wassap saja tentang saiz pakaian anak puan. Segera, ya.Terima kasih. Baik.” Suaranya berubah tenang. Tangan satu lagi mencoret sesuatu pada helai-helai kertas yang dipegang.
Kini tinggal dia seorang saja yang berdiri di depan pintu ruang ketibaan itu. Dia menoleh kiri kanan. Kosong. Cemas kembali mencuit rasa. Tidak biasa dengan tempat itu apatahlagi dengan suasananya yang begitu sunyi.
“Biar betul budak ni!” Dia semakin digigit gelisah. Orang yang dinanti masih tidak menjelma. Berkali-kali dia cuba menghubungi. Bersen-sen duitnya terbuang kerana ‘Nombor yang anda panggil tidak dapat dihubungi.’ Dalam pada dia asyik menghantar pesanan ringkas, bunyi panggilan masuk menambah debar.
“Ha, kau kat mana ni?” Cemas terkandung dalam nada suaranya yang meninggi. Namun demikian nada itu tiba-tiba beransur perlahan dan semakin perlahan.
“Ya, cikgu. Ya, saya dalam proses siapkan borang tu. Baiklah...baik...”
Dia mematikan talian setelah beberapa minit menyambut panggilan. Huh... lain yang ditunggu, lain pula yang hinggap. Macamlah tak ada waktu lain nak bincang soal kerja. Sekarang pukul sepuluh malam, okay! Tak boleh ke telefon saja besok pagi?
Hatinya kian penasaran. Dia memberanikan diri masuk ke dalam. Kakinya mula melangkah pantas sambil sesekali berlari anak, menyusuri lorong itu dengan perasaan tidak menentu. Melihat ruang pemeriksaan kastam yang sudah ditutup, dia semakin tidak keruan.
Tidak semena-mena muncul seseorang. Barangkali penumpang terakhir yang sedang menapak perlahan dari ruang pemeriksaan.
“Adik, tumpang tanya. Ada lagi tak penumpang lain di belakang? Atau awak orang yang paling akhir?” Kelam-kabut dia menyoal lelaki berperawakan campuran itu.
“Entahlah, makcik. Tak tahu.” Lelaki itu bersahaja menjungkit bahu seraya memasang kembali fon kepala yang berlingkar di leher.
“Makcik? Kakaklah, bukan makcik. Ciss...” Dia sempat menegur sambil matanya merenung lelaki itu dari atas ke bawah. Berdesing telinganya bukan kepalang.
Lelaki itu hanya mengangkat kening sambil menolak troli bagasi, beredar.
“Nilah budak-budak sekarang, tak tahu nak hormat orang tua!” Bulat matanya, masih tidak berpuas hati.
“Naina! Naina!”
Dia menoleh segera ke arah suara yang memanggil namanya. Kelihatan susuk tubuh seorang wanita menapak agak terhuyung hayang keluar dari ruang pemeriksaan.
Naina terkejut. Dalilah!

***
Subway. Restoran paling hampir dengan lorong tadi. Nainatul Farzulaikha segera membawa dua bungkus Subway Club ke arah teman yang duduk di meja paling sudut.
“Aku sihat. Pening kepala sikit aje.” Nur Dalilah seakan rasa bersalah, jelas dengan tingkah teman yang tidak menentu sebentar tadi. Menerpa laju ke arahnya, memeluk kuat jangan sampai dia terjatuh.
“Sikit? Aku macam cacing kepanasan tau, menunggu kau sejak tadi tak muncul-muncul. Dari seorang ke seorang penumpang...” Nainatul Farzulaikha mendorong cawan berisi Mirinda Oren ke tangan temannya.
Nur Dalilah senyum tipis.
“Penyakit kalau nak datang memang macam inilah. Di Subang tadi okay-okay saja.” Dia sendawa beberapa kali.
“Sudahlah tu, tak usah fikirkan sangat. Yang penting kau selamat.” Nainatul Farzulaikha berasa lega. Lenyap sudah segala tekanan walau hanya untuk sementara waktu.
“Maaflah aku menyusahkan kau aje malam-malam ni.”
“Dah, dah... aku faham. Perut kau kosong tu. Makanlah dulu sikit...” Nainatul menyeluk sesuatu dari dalam beg tangan. Dua butir ubat diletak berhampiran dengan piring makan Nur Dalilah.
 “Barulah boleh telan paracetamol.” Dia menyambung.
Nur Dalilah hanya tersenyum sambil mengangguk. Kalau tentang sikap mengambil berat, Nainatul Farzulaikha memang ratunya. Tiada apa yang dapat disembunyikan daripada teman itu. Segala-galanya bagai lutsinar. Tiada ruang dan peluang untuk berbohong sama sekali.
Seketika bunyi kerusi berlaga dengan jubin menarik perhatian mereka. Serentak itu pandangan mereka tertancap pada gerak tubuh seorang lelaki yang menapak tenang. Semakin dekat dan seakan menghampiri mereka.
Nur Dalilah tersipu-sipu saat lelaki itu mengukir senyuman manis. Malu.
Ternyata bagasi mereka berdekatan kerana ruang restoran yang agak sempit. Lelaki itu beredar sebaik mengambil troli bagasi miliknya yang bersebelahan dengan Nur Dalilah.
“Tak payahlah nak malu-malu kucing sangat ya. Orang tu nak ambil beg dia aje pun, bukan nak datang berkenalan.” Nainatul Farzulaikha kembali kepada tumpuannya. Satu per empat roti Parmesan berinti daging keju itu selesai dalam mulutnya.
Wow!” Dalilah terkagum-kagum sendiri.
“Apa yang wow?”
Ta Mim Pa Nun...” Dalilah tergeleng-geleng kepala, bagai tersihir dek bunian bersayap putih.
“Tampan?”
“Manakan tidak, muka Belanda, tinggi lampai. Darah campuran. Satu jerawat pun tak ada di mukanya, tak macam kau.”
Nainatul Farzulaikha cepat memegang muka. Gerutu-gerutu kecil di pipi diraba perlahan. Ciss...
“Badan tegap. Tersenyum kemain manis. Gigi teratur bagai askar berbaris.” Nur Dalilah bagai masih terpukau.
“Askar berbaris ya? Nampak satu mambang aje kemain lagi segar-bugar. Eh, dah hilang ke sakit kepala kau?”
“Tu baru nampak senyuman. Kau bayangkan kalau dia...”
“Ah, tak ada maknanya. Sudah-sudahlah dengan imaginasi kau yang tak habis tu. Askar berbarislah, askar beratur konon...” potong Nainatul Farzulaikha, naik muak mendengar. Sekilas jam di tangan dikerling.
“Bila masa aku cakap askar beratur?” Nur Dalilah mengerut kening. Kalau cemburu tu cakap ajelah, kawan. Lagipun sejak dulu, dia lebih senang didekati berbanding teman baik sejak kecil di depannya itu.
“Alah, apalah bezanya? Askar beratur tu samalah maknanya dengan askar berbaris. Kan? Berbaris sama juga dengan berkawat. Betul tak?”
Nur Dalilah tersedak.
“Ya Allah...apa yang kau merepek ni, Naina? Tetiba cakap pasal askar. Nampak gayanya, kau yang kena telan ubat ni.”
“Apa aku pula?”
“Semalam aku masih ingat lagi, berita dalam surat khabar. Semakin ramai cikgu yang hidup dalam tekanan. Silap haribulan, kalau tak dibendung gejala berbahaya ni boleh masuk rumah sakit jiwa tau!”
Giliran Nainatul Farzulaikha terbatuk-batuk, hampir terkeluar isi mulut.
“Mana ada orang pergi lapangan terbang dengan kain batik macam kau ni. Tengoklah sendiri, baju macam ni jemput aku? Bedak serbuk bercapuk sana sini. Boleh jerebu satu Malaysia. Nasib baik tak pakai selipar bilik air.” Nur Dalilah menyambung cakap, mengomel panjang lebar.
 Nainatul Farzulaikha hanya mengangkat kening. Bukanlah masalah besar pun berpenampilan begini. Lainlah kalau dia tidak berbaju.
“Aku tadi ingatkan nak tunggu dalam kereta aja. Aku malas nak keluar. Habis tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul. Tu yang aku main redah aje, cari kau. Lagipun dah malam macam ni, siapa yang pandang?” Dia mempertahankan diri, selamba membalas beberapa minit kemudian.
“Pakcik-pakcik tua di luar tu ramai aje yang suka pandang perempuan berkain batik.”
“Wah...macam tak sabar nak makan pinggan nampaknya?” Nainatul Farzulaikha memeluk tubuh.
Nur Dalilah tergelak kecil.
“Nanti kalau ada yang panggil kau tu ‘makcik’, bukan main lagi darah naik seribu darjah. Padahal banyak kali aku pesan, pakai seluar panjang.”
Nainatul Farzulaikha mengawal muka. Mujur dia belum sempat hendak bercerita tentang lelaki sama yang memanggilnya ‘makcik’ tadi. Kalaulah Nur Dalilah tahu, mahu gamat dunia ini dengan gelaknya yang terkekeh-kekeh. Syukurlah, setidak-tidaknya Nur Dalilah masih memakai modal lama tiap kali mengenakannya.
 “Ni semua kau punya fasal tau tak. Kau cakap tadi, kau dah ada di lobi. Kan? Sebab tulah aku memandu macam orang mabuk todi, kau tau?” Dia membalas tidak lama selepas itu.
“Kalau aku tak cakap macam tu, sahlah aku kena jadi mak pacak pula, tunggu kau bersolek lagi.” Nur Dalilah masih mengekalkan senyuman.
Nainatul Farzulaikha diam cuma, menahan rasa hati yang menggerutu. Mentang-mentanglah nama pun Dalilah, banyak aje dalilnya kalau bercakap. Huh...
Beberapa minit kemudian, mereka siap mengisi perut. Kedai-kedai lain juga sudah banyak yang tutup. Mereka berjalan perlahan sambil sama-sama menolak troli menuju pintu keluar.
“Banyak sangat agaknya kerja di sekolah, sampai kening asyiklah berkerut seribu?” Nur Dalilah bertanya, fokus  kepada topik lain.
“Bukan seribu lagi tapi sejuta!” Nainatul Farzulaikha selamba menjawab seraya mengeluarkan kunci kenderaannya.
Nur Dalilah gelak kecil.
“Kalau sampai sejuta tu, alamat bukan tentang kerja sekolah saja. Si mambang apa cerita?” Dia menyambung tanya, gaya menyelidik alias menyibuk.
“Dia sibuk juga macam aku bila dah akhir tahun macam ni. Alah bukan kau tak tahu aku tiap hujung sesi sekolah memang kelam-kabut selalu. Sakit kepala, sakit hati dan sakit otak. Semua ada.” Nainatul Farzulaikha membuka pintu kereta.
“Patutlah berita surat khabar macam tu sekali.” Nur Dalilah pura-pura serius sambil geleng-geleng kepala.
“Aku masih waras lagi ya, tolong sikit. Kang ada yang kena tinggal tepi jalan sekejap lagi.” Nainatul Farzulaikha cukup faham reaksi teman itu. Serentak itu, Nur Dalilah tergelak-gelak. Lebih kuat.
 “Pening kepala aku! Masa hujung sesi macam nilah semua program nak buat serentak. Bertembung sana sini. Kalaulah aku boleh transform badan aku jadi ulat bulu kan senang. Semua kerja boleh siap cepat.” Nainatul Farzulaikha bercekak pinggang tiba-tiba.
“Ulat bulu?”
“Yalah, ulat bulu banyak kaki. Kan?” Nainatul Farzulaikha mengeluh lagi.
Terburai lagi gelak Nur Dalilah. Memang sah temannya itu sedang dalam ketidakstabilan emosi. Stres.
“Tadi pagi dapat satu lagi kerja. Maju Bina nak buat sumbangan untuk dua puluh orang murid.” Nainatul Farzulaikha mula bercerita sambil memerhati Dalilah memasukkan beg di bahagian bonet.
“Hm...kau kena uruskan budak-budak?” Nur Dalilah cepat menduga.
“Kerja aku sekarang dah berlapis-lapis, Dalilah. Aku sampai tak tau nak mulakan dari mana. Aku cuba juga curi masa untuk selesaikan kerja-kerja Maju Bina ni. Akhirnya borang maklumat murid tu siap juga tadi.”
Nur Dalilah mengangguk-angguk. Dia cukup jelas dengan beban kerja guru, tanpa perlu teman baiknya itu bercerita panjang lebar.
“Borang maklumat tu, kau boleh minta dengan pihak yang sepatutnya.” Dia cuba memberi cadangan.
“Bukan maklumat diri tapi maklumat saiz  baju, kasut dan seluar atau kain sekolah mereka. Aku terpaksa hubungi ibu bapa setiap murid. Kadang mereka mesej aje. Kadang mereka layan panggilan aku. Terpaksalah bawa borang tu ke mana-mana selagi kerja aku tak selesai. Borang...” Bicara Nainatul Farzulaikha terhenti tiba-tiba.
Borang...? Segera dia menoleh ke arah troli. Ternyata beg kertas Nur Dalilah masih berada di tempatnya. Di dalam beg kertas itu tadi dia menumpang fail borang kerjanya. Cemas yang tiba-tiba muncul segera mereda.
“Borang apa?” Nur Dalilah menyoal, tidak faham.
Nainatul Farzulaikha tersenyum cuma, tidak bersuara. Dia segera membuka beg kertas milik Dalilah. Terdapat beberapa helai pakaian kanak-kanak, souvenier dan oleh-oleh lain.
Senyumannya mati mendadak. Tidak. Tadi sewaktu dia memasukkan fail borangnya, bukan barang-barang seperti itu yang ada di dalam beg kertas tersebut. Bukan.
“Borang!”Jantungnya berdegup kencang. 


bersambung...

Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…