Skip to main content

CERPEN HATI: Bab 2 Aku yang kehilangan...dalam diri sendiri...

  



  Dengan tukaran wang yang agak jauh menurun kebelakangan, dia setuju melaburkan tiga ratus ribu ringgit bagi projek fasa ketiga Rumah Kos di kawasan Jalan Jenderal Sulaiman. Projek kali ini akan melibatkan infrastruktur prasarana yang lebih maju seperti penyediaan jaringan internet tanpa wayar di seluruh bangunan dan alat daya elektrik prabayar di setiap rumah.
Asalnya rumah satu atau dua kamar itu memang dikhaskan untuk mahasiswa(digelar RUMAH KOS). Setelah beberapa tahun memerhati progres penyewa yang keluar masuk, dia kini membuka peluang kepada semua lapisan penduduk untuk menyewa rumah-rumah kos itu.
Pekanbaru, Kota Bertuah. Bandar yang sesak dan selalu sibuk kerana jajaran kawasan perindustriannya. Meskipun begitu, manusia di kawasan itu masih perlu mencari makanan, sangat sibuk demi sesuap nasi setiap hari. Tidak sama dengan masyarakat di negaranya yang sudah berpeluang untuk membuat pilihan. Memilih apa yang hendak dimakan.
Itu sebahagian pendapat-pendapat peribadinya yang tidak tercurah sebagai tinta. Memiliki susur galur keturunan dua negara, pandangannya menjadi lebih tajam kerana sudah berupaya melihat sesuatu lebih dari satu sudut. Sesungguhnya terlalu banyak sisi hidup yang dapat direnungi, jika memang mahu mengamati. Begitu kata Bunda, pemilik tanah beberapa hektar di kawasan Jalan Jenderal Sulaiman.
Semalam urusan rundingan bersama pegawai-pegawai Bank Kepri Riau hampir melewatkan jadual penerbangannya ke Johor. Nampaknya mereka amat berbangga dan mengalu-alukan pelaburan daripada orang sepertinya. Orang-orang yang mempunyai leluhur dari tempat mereka.
“Satu per lapan pihak Maju Bina akan agihkan zakat itu kepada asnaf-asnaf. Kau perlu pantau bahagian sumbangan sebanyak sepuluh ribu ringgit kepada sekolah-sekolah.”
Dia tidak tunggu waktu lebih lama sebaik sampai di pejabat. Burhan, pegawai perhubungan Maju Bina segera dipanggil masuk.
“Wah, cepat betul! Dalam cuti pun dah dapat maklumat?” Burhan terkejut. Sebenarnya dia sudah pun diberitahu lebih awal tentang program besar itu. Sepuluh buah sekolah yang terpilih juga sudah dihubungi dan disertakan sekali dengan borang maklumat.
Tiba-tiba saja pemuda di hadapannya ini sudah berada di Malaysia dan mula bekerja. Sepatutnya dialah yang bertanggungjawab memberitahu hal itu. Ini jangankan hendak membuka mulut, sebuah fail berwarna hijau dengan borang maklumat milik Maju Bina sudah tergeletak di atas meja pegawai itu. Cukup jelas lelaki itu sudah tahu semuanya.
“Kau periksa sekejap borang ni.”
Burhan mencapai fail hijau tersebut. Memeriksanya seperti yang diarahkan. Seketika keningnya berkerut.
“Pelik! Kenapa semua maklumat ditulis dalam saiz ‘L’,’M’ dan ‘S’ ? Sepatutnya ukuran dalam inci. Kau ada kenal siapa-siapa dalam SK Rimba Bunian ni, Gil?” Burhan menyedari sesuatu.
Ada kesilapan yang telah berlaku. Kesalahan yang perlu diperbetul menjelang tarikh akhir yang telah ditulis dalam setiap surat siaran kepada sekolah-sekolah terlibat.
“Borang ini memang rasmi cetakan syarikat?” Gilang membalas dengan soalan  seraya mengambil semula fail hijau itu. Pertanyaan Burhan dibiarkan tak berjawab.
Tumpuannya terus kepada borang yang sudah diisi dengan bermacam warna pen. Ada biru, merah dan hitam. Terdapat juga bekas-bekas tulisan pensil. Malah dia sedikit hairan bilamana membaca perkataan ‘ikan bilis’,’bawang merah’,’bawang putih’ dan bahan-bahan memasak lain pada kertas yang sama. Malah di belakang kertas itu pula tertulis resipi Ikan Bilis. Biar betul, Ikan Bilis pun ada resipinya? Aneh...
Burhan segera mengangguk.
“Ada kau tulis ‘inci’ dalam borang ni? ”Gilang bertanya lagi, menyelidik.
“Hm...” Burhan memanjangkan leher seketika, menjengah borang tersebut. “Alamak! Aku rasa macam aku dah tulislah dulu.” sambungnya sambil menepuk kepala.
“Rasa? Macam? Alasan tak logik langsung!” Gilang menyambar serius. Bukan dia tidak tahu perangai lelaki yang selalu menyuruh orang lain membuat kerja-kerjanya itu.
 “Anak aku la ni, dok mengacau aku tengah buat kerja depan laptop. Adui...” Burhan terkial-kial mempertahankan diri. Menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Lagi alasan kau! Baik kau pergi betulkan cepat sebelum masalah lain pula timbul.” Gilang membalas, tegas.
Burhan mengambil borang lalu beredar.
“Telefon kau ni!” Gilang meninggi suara. Setiap kali masuk ke biliknya, setiap kali itulah telefon bimbit Burhan tertinggal di mejanya. Kalau bukan kerana isteri Burhan yang kaki cemburu, tidak terfikir kepala otaknya hendak tolong jawabkan panggilan setiap kali jisim empat segi tepat itu berbunyi. Sebarangan saja lelaki yang seorang ini!
“Kau tengok, betapa stresnya aku dapat tahu borang ni salah. Telefon pun sampai tertinggal.” Burhan berpatah balik dengan riak keruh di wajah. Bergegas keluar sebaik mencapai telefon genggamnya.
Gilang hanya menggeleng-geleng kepala. Ada saja ragam teman yang seorang itu. Sejenak pandangannya jatuh kepada fail hijau tadi. Dibelek-belek perlahan sambil berfikir sesuatu. Borang maklumat atas nama Sekolah Kebangsaan Rimba Bunian itu direnung lama.
Seingatnya kelmarin, tiada penumpang yang berprofesion guru duduk di sebelahnya waktu di dalam penerbangan. Malah sejak dari Lapangan Terbang Sultan Syariff Qassim II lagi, dia hanya bersendirian. Sendiri beratur di kaunter pendaftaran masuk, sendiri menunggu di ruang perlepasan dan sendiri menikmati kopi hangat Old Town sewaktu menunggu di Subang. Aneh sungguh, seakan fail hijau ini memiliki kaki dan sayap lalu terbang dan merayap masuk ke dalam beg kertas berisi sepasang kasut futsal, baju baharu untuk Fifi, cenderahati untuk teman-teman dan  oleh-oleh buat Tok Mak.
Dari mana fail ini datang?
Seketika bunyi sistem Whatsapp pada telefon genggamnya berbunyi.
“Abang Agil, Ira ada depan pejabat abang. Barang untuk abang.”
“Abang sibuk. Nanti balik, abang ambil.”
“Ala, Ira dah susah-susah sampai sini. Keluarlah sekejap. Sekejap ajalah, bang.”
Gilang bangkit dari kerusi lalu menyelak tirai di balik tingkap. Kemudian dengan langkah pantas, dia menapak keluar.
“Ada apa?” Gilang tidak banyak basa-basi. Wanita yang sedang berdiri di tepi kenderaannya sedikit terperanjat disapa begitu.
“Hadiah untuk abang!” Zafirah tersenyum manis lalu menghulur bungkusan berbalut cantik.
“Heh, jangan buat malu abanglah. Macamlah tak boleh bagi di rumah.”
“Rumah mana? Tok Mak?” Zafirah menyoal. Sudah terlalu lama lelaki itu tidak pulang ke rumah. Bertahun-tahun. Menyepikan diri di rumah Tok Mak. Menyendiri.
“Ira tau kan abang tengah kerja.”
“Ira tak tau bila boleh dapat jumpa Abang Agil. Cari rumah Tok Mak pun tak ada. Semalam kan hari lahir Abang Agil. Ira bawa amanah papa ni. Jadi, kenalah pastikan Ira nampak dengan empat mata Ira sendiri abang Ira yang tersayang ni. Betul tak?” Zafirah tidak peduli dengan sikap dingin pemuda itu.
Dia sayangkan keempat-empat abangnya. Dia tidak pernah inginkan perpecahan ini. Gilang sentiasa ada di dalam hatinya, sebaris dengan Abang Muqri, Abang Hadi dan Abang Haidar. Terlalu berharga kenangan masa kecil mereka yang penuh kasih sayang.
Gilang cepat membuka bungkusan kecil itu. Kelihatan sebatang kunci berkilauan, terletak cantik di tempatnya yang khas. Tanpa berlengah, kunci itu dipulangkan semula ke tangan adiknya. Mukanya mula merah padam.
“Abang Agil...” Zafirah berubah riak. Kecewa.
“Eh, Abang Agil tak naklah gula-gula ni. Tak payah nak gula-gulakan abang dengan hadiah macam ni. Kenapa? Kereta abang tu buruk sangat ke? Dah berkarat? Ketinggalan zaman? Tayar tak boleh jalan?” Gilang dipancing emosi. Nada suaranya naik mendadak, membuat adiknya terkedu.“Bagi balik pada papa!”
“Sampai hati Abang Agil...”
“Dia lagi sampai hati!” Gilang menjerit. Garang. Namun sebaik melihat mata adiknya yang mula berkaca-kaca, dia segera mengawal hati.
“Sudah, Ira baliklah. Abang Agil tak nak sembang pasal ni lagi. Jangan sebut-sebut lagi tentang ni. Abang masuk kerja.” tambahnya dengan nada mengendur. Kakinya mula melangkah perlahan menghala ke bangunan pejabat.
“Habis Ira bukan adik Abang Agil ke? Kalau abang benci dengan papa, Ira macam mana? Ira buat salah apa dengan abang? Sampai bila kita semua hidup macam ni?” Zafirah meningkah, mula meluah tidak puas hati.
Sudah lama dia inginkan jawapan dari semua persoalan yang hanya bergeming lama di dalam hati. Bertahun-tahun lelaki itu menghindar dan melarikan diri tanpa sebarang penjelasan. Sampai bila hendak membawa hati? Mengapa dan kenapa?
Namun sekali lagi dengan sikap dingin itu, dia dibiarkan saja tanpa sebarang jawapan. Lelaki itu terus menapak dan menapak sehingga hilang dari pandangan, ditelan pintu besar bangunan Maju Bina Sdn Bhd.
***
Sekolah Kebangsaan Rimba Bunian. Melihat nama itu tertera pada papan tanda di satu selekoh jalan, entah mengapa bulu romanya merinding pula. Barangkali kerana namanya yang kedengaran sedikit mistik. Juga lokasinya yang berada di pinggir bandar, tambahan belum pernah jejakkan kaki ke situ, hatinya agak berdebar-debar.
Kenderaannya diparkir di luar sekolah. Bersama fail hijau yang dipegangnya, dia berhenti di pondok pengawal seketika, memberitahu tujuan kedatangannya ke sekolah itu. Tidak lama selepas itu dia diminta naik ke tingkat satu, bangunan pentadbiran.
“Ya, encik cari siapa?” Seorang wanita berpakaian kemas tersenyum di depan pintu pejabat.
“Er...saya pun tak berapa jelas nak jumpa siapa. Ini tentang sumbangan Maju Bina.” Gilang membalas senyum, memberitahu penuh hati-hati.
“Baik, encik tunggu di bilik GPK HEM sebentar ya.” Wanita tersebut sopan membalas.
Teragak-agak Gilang masuk ke bilik yang dimaksudkan. Kelihatan ruang berpenyaman udara itu bersih dan kemas. Dari pintu kaca, dia dapat melihat dengan jelas suasana agak sibuk dalam pejabat pentadbiran. Masing-masing berurusan dengan cepat dan agak kelam-kabut. Dia hanya duduk diam, tidak memahami situasi di luar bilik GPK HEM itu.
“Assalamualaikum, Maju Bina, ya?” Seorang lelaki lingkungan lima puluhan membuka pintu dengan pandangan tepat ke mukanya.
“Waalaikumsalam, ya, cikgu.” Gilang mengangguk. Otaknya cepat membaca tag nama di dada kiri lelaki itu. Kaharuddin.
“Naina!Naina!” Guru itu memanggil satu nama. Dan seorang wanita yang sedang berjalan laju ke pintu keluar pejabat kembali berpatah balik.
“Ya, cikgu. Ada apa?”
“Maju Bina datang ni.”
Gilang cuba mengamati sosok yang terlindung di balik dinding kaca.
“Saya nak keluar uruskan hadiah, cikgu.” Suara itu kedengaran pantas menjawab.
“Okay, tak apalah. Siapkan kerja awak dulu.” Kaharuddin menutup pintu bilik, sementara kelibat wanita yang dipanggil Naina tadi hilang di balik pintu keluar.
“Bahagian kebajikan murid memang di bawah Cikgu Nainatul Farzulaikha. Tapi maklum sajalah bila dah akhir tahun macam ni, kerja cikgu-cikgu pun berlipat kali ganda. Dia terpaksa uruskan program Anugerah Kecemerlangan, sibuklah sikit.”
Gilang hanya mengangguk-angguk, dalam waktu yang sama bagai terasa ngilu di hati mendengar nama yang baru saja menerjah ke corong telinga. Nainatul Farzulaikha?
Beberapa minit memberitahu perihal fail tersebut dan sebab kedatangannya ke sekolah itu, ternyata guru penolong kanan HEM itu tetap tidak dapat memastikan siapa tuan empunya fail.
“Sebab tak tertulis nama siapa, saya tak berani nak cakap. Apa-apa hal saya akan rujuk Cikgu Naina. Terima kasih, encik.” Kaharuddin tersenyum.
Gilang hanya mengangguk sambil membalas senyum. Apa yang penting, urusannya selesai dan fail itu sudah pun dipulangkan ke sekolah yang berkaitan. Tanpa perlu berlama-lama, dia terus meminta diri.






Bersambung...


Popular posts from this blog

CERPEN HATI : SHELL...CARA ISI MINYAK GUNA KAD KREDIT

Assalamualaikum warahmatullah...
Mendung kelabu...hujan turun sepi dan penuh sendu...



Alkisah dapat wassap yang harga minyak akan naik pada 1 Ogos. Setengah jam kemudian ada satu lagi wassap tunjuk harga minyak turun 0.10 sen. Dah ler tangki minyak aku tu dah  haus tahap cipan. Memikir-mikir aku nak isi minyak ke idok malam 31hb Julai.
Last-last aku cadang nak isi besok aje. Biar tengok sendiri mana satu yang betul. Isu minyak jangan nak buat main tengah suasana tegang macam sekarang ni. Kalau seliter aje RM2.15 , bayangkan kalau 30 liter! 30 liter berapa hari aje dah habis? Orang bodoh bangang tahap maksima aje yang tak kisah tentang minyak naik tak naik ni plus tak reti n tak paham apa kaitannya dengan harga barang naik tak naik. Gajah besar depan mata pun tak nampak-nampak sejak azali. Bakteria nun dok hujung kutub sana bleh nampak pulak. Menyirapppppp betul.
Esoknya pada 1 Ogos, aku dapat berita ayah kawan baik masuk HSI sebab minor stroke. Aku gagahkan diri dalam berposa pun untuk g…

MOHON TUNTUTAN PINDAH RUMAH SENDIRI

Pernah tahu tak yang kita boleh tuntut elaun pindah rumah sendiri?
Tak pernah tahu? Saya pun tak tahu. Haha.. tapi oleh sebab ada kawan satu kerja yang berpindah dan membuat tuntutan pindah, maka terkeluarlah sekali bicara tentang adanya elaun masuk ke rumah sendiri. Whoa... kenapa baru tahu sekarang? Nasib baik belum lagi 6 bulan saya masuk rumah sendiri. Kalau tidak, memang tak dapat.  Apabila buat tuntutan, kemain lagi strict. Syadid sungguh dalam mengisi borang. Salah satu item pun kena tolak dan mintak kita isi sekali lagi. Yang buat saya bengkak tu, borang yang saya isi adalah borang yang kerani bagi. Bukannya saya pandai buat-buat sendiri. Akhirnya kena tolak dan mereka suruh lengkapkan. Nasib baik dalam Ramadhan. Malas nak marahkan sesiapa. Buat aje sekali lagi. Fotostat lagi sekali. Jumpa ketua jabatan sekali lagi. Oleh sebab kerani saya yang buat spoil, biar dia yang uruskan semuanya kali ni. Saya hanya tambah apa yang kurang. Proses-proses lain dialah pulak.
Cara nak mohon ela…

Pengeluaran KWSP

Boleh tak kita keluarkan caruman KWSP kita sedangkan potongan KWSP dalam slip gaji belum diberhentikan? (Untuk pekerja kerajaan yang memilih Skim Pencen)



Jawapannya: Boleh


Barangkali ramai yang masih kabur tentang pengeluaran KWSP. Tidak kira pencarum tersebut seorang Pesara Pilihan atau Pekerja Berpencen. Oleh kerana aku termasuk dalam kategori Pekerja Berpencen, maka aku fokus pada PPB(Pengeluaran Pekerja Berpencen) sajalah. Bagi Pesara Pilihan, mereka tidak kelam-kabut sangat nak keluarkan duit memandangkan ada berbagai skim yang disediakan untuk mengeluarkan caruman sendiri. Mereka boleh keluarkan melalui bahagian Akaun 2. 


Tak faham apa itu Akaun 2? Sila layari laman web:


 (http://www.kwsp.gov.my). Baca sendiri dan fahamkan ya. Kalau tak faham, datang sendiri ke bangunan KWSP di belakang Wisma Persekutuan kat Jalan Ayer Molek JB.Pejabat KWSP negeri lain pun boleh juga.


Semakin lama bekerja, semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Keperluan ya, bukan kemudahan. Barang-barang yang…